Agensi keselamatan mesti bebas rasuah, kembalikan kepercayaan rakyat

SHAH ALAM - Mana-mana agensi keselamatan dalam negara mesti bebas sebarang unsur rasuah agar kepercayaan rakyat terhadap pasukan barisan hadapan seperti polis trafik terus utuh.
Presiden Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema), Mohammad Amar Masuri berkata, pihaknya menyokong penuh tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan terhadap tiga petugas trafik yang tular baru-baru ini bagi menyiasat wujud elemen salah laku atau sebaliknya.
Jelas beliau, segala proses siasatan diharap berjalan lancar tanpa sebarang spekulasi yang beredar di media sosial hingga mampu mengganggu keadilan.
“Justeru, pada pandangan saya, antara langkah untuk menuntaskan isu rasuah dalam kalangan polis trafik adalah PDRM perlu memperketat pemantauan termasuk penggunaan sistem rakaman badan ketika sekatan jalan raya.
“Ia bagi memastikan terdapat ketelusan dan akauntabiliti semasa menjalankan tugas. Selain itu, pelaksanaan sistem laporan awam yang mudah serta selamat.
“Rakyat mesti diberikan saluran aduan yang lebih mesra pengguna dan dilindungi seperti aplikasi khas atau talian ‘hotline’ bagi membolehkan mereka lapor sebarang salah laku tanpa rasa takut.
“Rasuah bukan sahaja melibatkan pemberi tetapi juga penerima. Oleh itu, kesedaran rakyat perlu ditingkatkan agar mereka tidak menawarkan rasuah walau dalam apa jua keadaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Sebelum ini, polis dilapor bakal melakukan siasatan dalaman terhadap tiga anggotanya yang dirakam dalam satu video tular ketika mengadakan sekatan jalan raya di persimpangan The Mines pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan memaklumkan, siasatan berkenaan bagi menentukan sama ada wujud elemen salah laku atau pelanggaran garis panduan dalam pelaksanaan sekatan jalan raya.
Terdahulu, video berdurasi satu minit 19 saat itu menunjukkan tiga anggota polis trafik melakukan sekatan jalan raya sebelum salah seorang dirakam mengambil sesuatu daripada pemandu kereta yang ditahan.
Mengulas lanjut, Mohammad Amar berpandangan, PDRM juga perlu memperkukuh pelaksanaan saman elektronik (e-saman) dan sistem bayaran tanpa tunai kerana ia sedikit sebanyak mampu mengurangkan ruang untuk rundingan ‘di tepi jalan’.
Tambah beliau, hukuman lebih berat wajib dikenakan kepada pesalah termasuk buang kerja dan tindakan mahkamah sebagai isyarat jelas bahawa tiada kompromi terhadap jenayah rasuah.
“Sebagai salah seorang ahli Rasuah Busters, saya percaya membasmi rasuah merupakan tanggungjawab bersama.
“Justeru, saya ingin mengajak semua pihak termasuk penguatkuasa, rakyat dan badan bebas untuk bersama-sama menjadikan negara ini terhindar daripada amalan rasuah,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

