TNB Pasir Gudang hargai petugas barisan hadapan bantu mangsa banjir

PASIR GUDANG – Tenaga Nasional Berhad (TNB) Cawangan Pasir Gudang menganjurkan Program ‘Singgah Sahur’ sebagai tanda penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus membantu mangsa banjir di Kampung Sentosa Damai, Masai, dan kawasan sekitar.
Pengurus Besar Remaco O&M Sultan Ibrahim Power Plant (SIPP), Ir Ts Mohd Syazwan Othman berkata, program ini bertujuan menyampaikan penghargaan kepada petugas keselamatan dan kecemasan yang berkhidmat tanpa mengenal penat lelah dalam membantu mangsa banjir.
“Petugas barisan hadapan memainkan peranan penting dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan masyarakat, terutamanya dalam situasi mencabar seperti bencana banjir.
"Justeru, Program Singgah Sahur ini adalah tanda sokongan kami kepada mereka yang bekerja sepanjang malam,” katanya.
Menurutnya, program ini bermula dari TNB Southern Power Generation (SPG) dengan beberapa hentian utama seperti Pengerang Power Generation (PGE), Balai Polis, Balai Bomba, dan Hospital Penawar, bagi menyerahkan juadah sahur kepada petugas yang bertugas sepanjang malam.
Konvoi ini turut disertai oleh Pengarah Urusan Southern Power Generation, Ir. Saiful Idzwan, serta Head (Transformation, Strategy & Sustainability) TNB GENCO Sdn Bhd, Mohd Nasrul Mohd Taib.
Sementara itu, Mohd Syazwan berharap program ini dapat memberikan sedikit semangat kepada petugas barisan hadapan yang komited dalam menjalankan tanggungjawab mereka.
Beliau berkata, usaha sebegini mencerminkan kepedulian serta sokongan berterusan daripada TNB kepada masyarakat yang memerlukan.
“Program ini pada asalnya dirancang sebagai Ride Konvoi Singgah Sahur menggunakan motosikal.
"Bagaimanapun, atas faktor cuaca yang kurang baik, ia diubah kepada konvoi menggunakan sembilan buah kereta.
"Walaupun terdapat perubahan, semangat kebersamaan dalam kalangan ahli konvoi tetap kukuh bagi memastikan makanan sahur dapat disampaikan kepada petugas yang sedang bertugas," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!