Lembaga Pengarah NIOSH tandatangan Ikrar Bebas Rasuah

SHAH ALAM - Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) memperkukuh integriti dan tadbir urus dengan menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR) sebagai usaha memerangi gejala tersebut dalam organisasi itu.
Naib Pengerusinya, Manivanan Gowin berkata, ikrar berkenaan bukan sekadar simbolik, tetapi satu perakuan bahawa institut tersebut tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk pelanggaran integriti.
“Sebagai institusi yang bertanggungjawab meningkatkan tahap keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Malaysia, NIOSH komited melaksanakan peranan tersebut sebaik mungkin.
“Setiap aspek pentadbiran dan operasi akan dijalankan dengan penuh ketelusan dan akauntabiliti,” katanya selepas menghadiri mesyuarat Lembaga Pengarah organisasi itu pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi NIOSH, Chong Chieng Jen, yang turut menyaksikan pemeteraian IBR sebagai bukti iltizam ahli Lembaga Pengarah NIOSH dan seluruh organisasi menolak sebarang bentuk rasuah serta salah guna kuasa.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan komitmen kerajaan Madani untuk membina negara berwibawa, bersih serta memperkasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan bebas dan berintegriti.
Anwar turut menegaskan bahawa beliau tidak akan bertolak ansur dengan isu rasuah, sama ada melibatkan penyokong kerajaan atau pembangkang, dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu berpengaruh sekiranya terdapat bukti kukuh.
Sementara itu, Gowin berkata pelaksanaan IBR menegaskan komitmen NIOSH untuk menjalankan tanggungjawab dengan penuh amanah dan profesionalisme demi memastikan sektor KKP di Malaysia terus maju serta berdaya saing.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Audit, Integriti dan Governans (JKAIG), berkata NIOSH akan terus memperkukuh mekanisme pemantauan dan kawal selia bagi memastikan semua keputusan di setiap peringkat berlandaskan prinsip integriti dan tanggungjawab.
“Melalui JKAIG, langkah penguatkuasaan dan pencegahan rasuah akan terus diperkasa agar budaya integriti diterapkan di semua peringkat organisasi.
“Komitmen ini juga selari dengan aspirasi kerajaan Madani dan hasrat Perdana Menteri untuk membanteras rasuah serta memperkukuh nilai integriti dalam sektor awam dan swasta,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
