Cukuplah kematian langgar lampu merah

KEMALANGAN jalan raya membabitkan kenderaan melanggar lampu isyarat merah semakin kerap dilaporkan sejak akhir-akhir ini.
Insiden sebegini bukan perkara baharu, bahkan sering berlaku sehingga mengakibatkan pelbagai tragedi meragut nyawa.
Banyak pihak berpendapat faktor utama masih ke arah pemandu yang bersikap sambil lewa ketika memandu disebabkan kelompok ini beranggapan kurangnya pemantauan atau penguatkuasaan ditumpukan di atas jalan raya.
Pemanduan tidak beretika itu bukan sahaja membahayakan diri sendiri malah mengancam nyawa pengguna jalan raya lain terutama penunggang motosikal atau pejalan kaki.
Statistik kemalangan jalan raya dikeluarkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (JKJR) menunjukkan kelalaian pemandu menjadi faktor utama berlakunya kes kematian di jalan raya.
Tidak dinafikan, kejadian seperti ini memberi kesan mendalam terhadap keluarga mangsa bukan sahaja dari segi emosi tetapi kehidupan mereka secara keseluruhan.
Lebih mengecewakan apabila terdapat ahli keluarga kita yang sudah berusaha sehabis baik mematuhi peraturan jalan raya dan memandu penuh berhemah, tetapi akhirnya menjadi mangsa kemalangan dek kecuaian pihak lain.
Situasi itu dapat disimpulkan daripada kes membabitkan tiga remaja berusia 15, 16 dan 17 tahun meninggal dunia akibat dirempuh sebuah kereta Honda Jazz yang gagal berhenti di persimpangan lampu isyarat merah di Seremban.
Kejadian berkenaan menjadi bukti jelas kegagalan seorang pemandu menunaikan tanggungjawab memandu secara beretika yang akhirnya menyebabkan seorang ibu kehilangan dua anak sekali gus.
Begitu juga dengan satu lagi insiden lebih kurang sama dilaporkan berlaku di Jalan Felda Sendayan, Nilai di Negeri Sembilan apabila seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan parah akibat di rempuh sebuah kereta yang melanggar lampu isyarat.
Beberapa siri kejadian tragis sebegini mengundang persoalan, sejauh mana keberkesanan penguatkuasaan undang-undang jalan raya di negara ini dalam memastikan pemandu tidak lagi mengamalkan sikap pemanduan melulu?
Peruntukan undang-undang digariskan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 juga seakan-akan tidak cukup bagi menoktahkan lambakan kes kemalangan membabitkan pelanggaran lampu isyarat.
Justeru, pihak berkuasa perlu mengambil langkah lebih proaktif untuk memastikan setiap peraturan jalan raya di negara ini dipatuhi.
Antara langkah yang boleh diambil adalah meningkatkan sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dengan memperluaskan ke kawasan lebih berisiko berlakunya kes pemanduan melulu membabitkan kesalahan pelanggaran lampu isyarat merah.
Selain itu, Sistem Kesalahan Jalan Raya (Kejara) perlu diaktifkan semula bagi memastikan masyarakat lebih berdisiplin dan berasa gentar terhadap hukuman yang dikenakan.
Aktivis keselamatan jalan raya, Shahrim Tamrin menegaskan, Kejara membolehkan kenderaan yang dipandu oleh individu tanpa lesen serta terlibat dalam kemalangan atau ditahan di tepi jalan disita sehingga keputusan mahkamah diumumkan.
Bahkan katanya, hukuman di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 masih terlalu longgar dan tidak cukup ketat untuk mengekang trend ini daripada terus berleluasa antara faktor mengapa JPJ dan pihak berkuasa perlu memperkasakan kembali Kejara.
Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan peranan penting dalam mengekang kejadian pelanggaran lampu isyarat merah dengan melaporkan setiap insiden kepada pihak berkuasa.
Kesedaran kolektif dalam kalangan masyarakat untuk tidak berkompromi dengan kesalahan lalu lintas juga dapat membantu mengurangkan kes kemalangan.
Justeru, penguatkuasaan yang lebih ketat, hukuman lebih berat serta kesedaran masyarakat yang tinggi amat diperlukan bagi memastikan jalan raya lebih selamat untuk semua pengguna.
*Azleenda Sahaludin ialah wartawan meja am Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

