'Makcik nangka' kena tindakan, berniaga di rizab jalan Persekutuan

Tangkap layar video yang tular di media sosial memaparkan seorang peniaga nangka wanita memarahi anggota penguat kuasa.
Tangkap layar video yang tular di media sosial memaparkan seorang peniaga nangka wanita memarahi anggota penguat kuasa.
A
A
A

RAUB - Seorang peniaga nangka dikenakan tindakan kerana menjalankan perniagaan di atas rizab jalan Persekutuan, sekali gus mengundang risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya.

Pegawai Daerah Raub, Datuk Khuzaidi Haron berkata, ia susulan tular sebuah video berdurasi dua minit 24 saat di media sosial yang memaparkan seorang wanita memarahi anggota penguat kuasa pada Ahad.

Menurutnya, insiden itu berlaku ketika operasi penguatkuasaan dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Raub bersama Majlis Daerah Raub (MDR) di Jalan Persekutuan FT0008 (Bentong-Gua Musang), di sini.

"Operasi sebegini telah bermula sejak tahun lalu, dilaksanakan secara bersepadu serta melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) di lokasi terlibat.

"Tindakan penguatkuasaan terpaksa diambil kerana peniaga berkenaan menjalankan perniagaan di atas rizab jalan Persekutuan yang jelas membahayakan keselamatan diri sendiri, pembeli serta pengguna jalan raya," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Beliau berkata, had laju di jalan tersebut adalah 90 kilometer sejam kecuali di kawasan kampung dan sekolah, manakala lokasi perniagaan peniaga terbabit terletak di rizab jalan Persekutuan.

"Keadaan ini amat membahayakan kerana kenderaan dipandu laju di jalan raya tersebut, walaupun mungkin tidak sepanjang masa. Risiko kemalangan tetap tinggi bagi peniaga serta pembeli yang berhenti di situ," jelasnya.

Tambahnya, difahamkan pernah berlaku kemalangan maut di laluan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat setempat juga telah banyak kali mengadu bahawa peniaga-peniaga seperti ini menghalang pandangan pemandu, terutama di simpang keluar masuk ke kampung," katanya lagi.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan tersebut dilaksanakan secara bersepadu kerana melibatkan bidang kuasa berbeza.

"Ia bermula apabila JKR, yang mempunyai bidang kuasa ke atas rizab jalan Persekutuan, mengemukakan permohonan kepada PDT untuk membantu dalam aspek penguatkuasaan.

"Ini kerana JKR tidak mempunyai anggota yang mencukupi bagi melaksanakan penguatkuasaan tersebut," jelasnya.

Katanya, MDR juga telah mengeluarkan banyak kompaun sebelum ini terhadap peniaga yang berniaga tanpa lesen dan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa Ops Nangka telah dilaksanakan secara berperingkat sejak tahun lalu.

"Pada 24 Mac tahun lalu, JKR Raub telah mengemukakan permohonan bagi melaksanakan penguatkuasaan terhadap gerai-gerai peniaga nangka yang beroperasi tanpa kelulusan di atas rizab jalan persekutuan FT0008, Jalan Bentong – Gua Musang, Raub.

"Kali pertama Ops Nangka dilaksanakan pada 6 Jun tahun lalu dengan penyertaan MDR, JKR, PDT Raub, UPNP dan PDRM, di mana sembilan gerai telah disita oleh MDR hasil operasi tersebut.

"Kemudian, pada 8 Ogos tahun lalu, operasi yang melibatkan MDR, PDT Raub, JKR, SWCorp dan PDRM menyaksikan tujuh gerai lagi disita oleh MDR," katanya.

Jelas beliau, Ops Nangka kali ketiga dilaksanakan pada 13 Januari lalu, di mana PDT Raub diarahkan melakukan rondaan berkala pada hujung minggu serta menampal Notis Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) terhadap pendudukan secara tidak sah bermula 25 Januari hingga 31 Mac ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!