Jalan persekutuan di Sabah melebihi jangka hayat, perlu dinaik taraf – Shahelmey

KOTA KINABALU - Kebanyakan jalan persekutuan di Sabah telah melebihi jangka hayat reka bentuknya dan tidak lagi sesuai untuk sekadar penyelenggaraan rutin, sebaliknya perlu dinaik taraf secara menyeluruh.
Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Ir. Shahelmey Yahya, menjelaskan perkara itu susulan kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mendakwa jalan rosak atau berlubang lebih cepat dibaiki semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN).
Jelas Shahelmey, yang juga Timbalan Ketua Menteri, antara jalan yang terjejas termasuk jajaran dari Kota Kinabalu ke Sandakan dan Tawau, yang kini sedang dalam fasa pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Fasa 1B.
“Jalan-jalan ini direka bentuk untuk bertahan sekitar 20 tahun, tetapi kini telah melepasi tempoh tersebut.
“Oleh itu, ia bukan lagi sekadar isu penyelenggaraan seperti menampal lubang, sebaliknya perlu dinaik taraf sepenuhnya bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Iftar Ramadan di sini pada Ahad.
Tambah beliau, kerja-kerja pembinaan lebuh raya turut memberi kesan kepada jalan sedia ada, selain faktor lain seperti hujan berterusan, lebihan muatan kenderaan serta peningkatan trafik yang mempercepatkan kerosakan.
“Lebih 50 peratus jalan persekutuan di Sabah kini berada dalam kondisi lima, iaitu keadaan jalan yang tidak lagi sesuai untuk ditampal kerana asasnya sudah koyak dan terlalu nipis.
“Jika kita hanya tampal lubang, ia hanya bertahan untuk sementara waktu bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya. Namun, langkah terbaik adalah menaik taraf keseluruhan struktur jalan tersebut,” katanya.
Ujarnya lagi, setiap tahun Sabah memerlukan penyelenggaraan bagi 110 kilometer jalan persekutuan, namun peruntukan yang diterima hanya mencukupi untuk sekitar 50 hingga 60 kilometer sahaja, menyebabkan wujudnya tunggakan penyelenggaraan.
“Setiap tahun ada tunggakan dan kini kita dikejar oleh tempoh jangka hayat reka bentuk jalan yang telah tamat.
“Jadi, kita telah berbincang dengan kerajaan Persekutuan untuk meminta tambahan peruntukan bagi menyelenggara serta menaik taraf jalan-jalan yang telah rosak teruk,” katanya.
Sehubungan itu, Shahelmey berharap kerajaan Persekutuan akan menyalurkan peruntukan tambahan bagi memastikan infrastruktur jalan di Sabah dapat dipertingkatkan secara menyeluruh.
“Semalam, Perdana Menteri ada menyatakan dalam taklimat pembangunan antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bahawa kita telah mengemukakan senarai permintaan kerajaan Sabah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!