Elak berniaga di tepi jalan demi keselamatan - Exco

KUANTAN – Peniaga di Pahang dinasihatkan agar tidak berniaga di tepi jalan bagi mengelakkan risiko kemalangan, terutama menjelang musim perayaan susulan peningkatan jumlah kenderaan.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, keselamatan pengguna jalan raya adalah keutamaan dan sebarang aktiviti perniagaan di bahu jalan boleh mengundang bahaya.
“Kami ingin mengingatkan para peniaga bahawa berniaga di tepi jalan tidak dibenarkan atas faktor keselamatan, lebih-lebih lagi pada waktu ini apabila jumlah kenderaan meningkat dengan ketara,” katanya ketika diminta mengulas isu tular mengenai peniaga yang menjual nangka di tepi jalan di sebuah laluan utama baru-baru ini.
Terdahulu, tular satu video di media sosial yang memaparkan beberapa kenderaan berhenti di bahu jalan untuk membeli nangka daripada seorang peniaga.
Kejadian itu berlaku di satu selekoh yang sibuk, menyebabkan aliran trafik terganggu dan meningkatkan risiko kemalangan.
Video berkenaan mengundang pelbagai reaksi daripada netizen dan sebahagian daripada mereka meluahkan kebimbangan mengenai keselamatan pengguna jalan raya, manakala yang lain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berulang.
Sehubungan itu, Razali meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memperketatkan pemantauan bagi memastikan tiada aktiviti perniagaan dijalankan di lokasi yang boleh membahayakan orang ramai.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati, merancang perjalanan dengan baik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

