Tular wanita ditampar: KPD antara dikenakan tindakan gagal ambil laporan polis

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun menyatakan Ketua Polis Daerah (KPD) antara dikenakan tindakan susulan kegagalan menyampaikan arahan kepada anggotanya untuk menerima sebarang laporan polis daripada pengadu.

Ia susulan dakwaan seorang wanita yang ditampar seorang individu dan telah membuat laporan, namun tiada tindakan diambil oleh pihak polis.

"Bukan saja anggota yang tidak mengambil laporan itu dikenakan tindakan, tetapi termasuk KPD dan juga Ketua Balai kerana mereka gagal menyampaikan arahan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini, pada Selasa.

Menurutnya, arahan telah dikeluarkan sebelum ini bahawa setiap aduan yang dibuat oleh pengadu mesti diterima oleh pihak polis.

"Kita telah berulang kali membuat teguran bahawa mana-mana individu membuat laporan polis, semua balai, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), atau Pasukan Petugas Khas (PPK) wajib menerima apa sahaja bentuk laporan polis berkenaan.

"Terima dahulu, barulah kita klasifikasikan laporan itu dari aspek sama ada mempunyai unsur jenayah atau tidak, atau sesuaikan laporan polis itu dengan tempat di mana kejadian jenayah berlaku," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan dua kertas siasatan telah dibuka berhubung kejadian seorang wanita yang mendakwa ditampar dalam insiden di tepi Jalan Tun Mustapha, di sini, pada Jumaat.

Kejadian yang turut tular di media sosial itu melibatkan seorang lelaki yang juga pemandu, dipercayai memandu secara melulu sehingga menyebabkan pertengkaran dengan wanita berusia 28 tahun tersebut.

Artikel Berkaitan:

Dalam insiden itu, kedua-dua pihak telah pergi ke Balai Polis Labuan, dan kes dirujuk ke bahagian siasatan, tetapi penyelesaian yang dicadangkan tidak memuaskan hati mangsa.

Mangsa kemudian mendakwa belum menerima maklum balas daripada pihak polis mengenai kejadian itu dan susulan itu, pihak polis turut menjalankan siasatan selari di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 berkaitan kegagalan menerima laporan daripada mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!