Wanita cantik hilang tinggal rangka rupanya dibunuh rakan baik bapa sendiri

SULAWESI SELATAN - Polis Indonesia berjaya merungkai kronologi kes seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak Januari tahun lalu selepas rangkanya ditemukan di pinggir jalan oleh penduduk sekitar.
Ketua Polis Daerah Palopo, Safi'i Nafsikin berkata, mangsa, Feni Ere, 28, rupa-rupanya dibunuh oleh rakan baik bapanya sendiri yang juga pernah bekerja sebagai tukang baiki bumbung rumah.
Menurut Safi’i, pelaku, Ahmad Yani, 35, dan beberapa rakan lain melepak sambil meneguk minuman keras di rumah jiran Feni sehari sebelum kejadian berlaku.
“Selepas itu, pelaku menghantar kawannya pulang ke rumah, kemudian duduk termenung lama sehingga timbul niat untuk membawa Feni lari.
“Pada 25 Januari 2024, dia berjalan kaki ke rumah Feni dan menceroboh masuk dengan memanjat tembok bilik air serta terus menuju ke bilik.
“Feni yang terkejut sempat menjerit meminta tolong, tetapi Ahmad Yani menutup mulut mangsa dengan kain lalu merogolnya. Sebelum itu, Feni sempat memujuk untuk berbincang secara baik sambil cuba melarikan diri,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan keluarga Feni membuat laporan polis berhubung kehilangannya tanpa jejak pada 27 Januari tahun lalu.
Difahamkan, wanita yang bekerja dalam bidang penjualan kereta itu tinggal bersendirian di Jalan Pongsimpin, Kelurahan Mungkajang, Palopo, manakala keluarganya berada di Kabupaten Luwu Utara.
Feni ditemukan hanya tinggal rangka dengan bahagian mulut terikat di tepi jalan Kelurahan Battang Barat, Kecamatan Wara Barat, Kota Palopo, Sulawesi Selatan, pada awal Februari lalu.
Mengulas lanjut, Safi'i memaklumkan bahawa Feni bertindak agresif, menyebabkan pembunuh beremosi lalu memukul kepalanya sehingga berdarah.
Polis menjelaskan bahawa Ahmad Yani membersihkan bilik yang dipenuhi darah menggunakan mop bagi menghilangkan jejak jenayah.
“Dia kemudian memasukkan Feni ke dalam beg lalu menyumbat mayat ke dalam kereta jenis Honda Brio milik mangsa,” katanya.
“Setibanya di Kilometer 35, Kelurahan Battang Barat, Kecamatan Wara Barat, pelaku membuang mayat korban, tukar nombor plat kereta dan jalan kaki balik rumah.
“Motif pembunuhan dipercayai kerana Ahmad Yani menyimpan perasaan terhadap Feni dan berniat untuk bawa mangsa lari dari rumah, namun disebabkan Feni melawan, lain pula yang jadi,” ujar Safi’i lagi.
Bapa mangsa, Parman memberitahu, dia tidak menyangka kawan baiknya terlibat dalam kes pembunuhan Feni, bahkan tergamam apabila mengetahui pelaku berada di depan mata selama ini.
Jelas Parman, Ahmad Yani atau mesra dipanggil Amma tidak pernah membahas tentang Feni di hadapannya, apatah lagi menyatakan perasaan suka.
"Saya sering nongkrong (lepak) dengan pelaku, tetapi dia tidak pernah cakap tentang Feni," katanya. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!