Tanah runtuh: Penduduk terputus hubungan, terpaksa makan ubi kayu

Keadaan terkini jalan menuju ke Kampung Binanon, Keningau. Gambar kecil: Rosli
Keadaan terkini jalan menuju ke Kampung Binanon, Keningau. Gambar kecil: Rosli
A
A
A

KENINGAU - Penduduk Kampung Binanon dekat sini, yang terputus bekalan makanan akibat tanah runtuh yang berlaku di laluan keluar masuk kampung tersebut terpaksa bertahan dengan makan ubi kayu sejak dua hari lalu.

Penduduk, Rosli Masilau, 26, berkata, setakat ini penduduk terpaksa bergantung dengan tanaman yang ada di kampung untuk dijadikan sebagai sumber makanan.

"Memandangkan bekalan makanan seperti beras sudah habis, kami terpaksa menggantinya dengan ubi kayu sejak dua hari ini.

"Nasib ada tanaman yang boleh dimakan untuk penduduk kampung termasuk sayur-sayuran dan juga ikan boleh didapati di kawasan sekeliling kampung atau hutan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Ditanya mengenai situasi keadaan laluan menghubungkan kampung mereka ke Keningau, Rosli berkata, seluruh laluan tidak boleh dilalui ketika ini.

"Setakat ini ada tiga jambatan runtuh dan lebih 10 laluan terputus selepas hujan berterusan dan menyebabkan tanah runtuh berlaku di kawasan ini," katanya.

Sehubungan itu, Rosli berharap pihak berkaitan dapat meninjau keadaan di laluan tersebut supaya boleh diambil tindakan segera.

"Kami mohon pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dapat membaik pulih jambatan dan jalan runtuh yang berlaku di kampung kami," rayunya.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan kira-kira 200 penduduk terputus bekalan makanan dan 15 guru terperangkap selepas laluan keluar masuk kampung tersebut terjejas akibat kejadian tanah runtuh pada Khamis lalu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!