Johor tubuh jawatankuasa khas tangani banjir, RM179 juta diperuntukkan

Mohd Jafni (dua dari kanan) memberi sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada penerima.
Mohd Jafni (dua dari kanan) memberi sumbangan Hari Raya Aidilfitri kepada penerima.
A
A
A

KULAI – Kerajaan Johor menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mempercepatkan usaha menangani masalah banjir yang melanda negeri itu, khususnya sepanjang Ramadan ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, jawatankuasa tersebut akan menilai semula peruntukan bagi kawasan hotspot banjir yang telah ditetapkan tahun ini.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan penyelesaian dapat dilaksanakan segera serta bersesuaian dengan keperluan kawasan terjejas.

“Selain itu, kerajaan negeri telah mengarahkan 16 pihak berkuasa tempatan (PBT), terutama di Greater Johor Bahru, supaya meneliti semula keadaan parit, keperluan kolam takungan air serta menaik taraf sistem perparitan susulan taburan hujan luar biasa yang berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 di Dewan Bandar Putra, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Jafni menjelaskan bahawa jawatankuasa khas itu turut membabitkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Daerah bagi mengenal pasti kawasan yang perlu diberi perhatian segera.

“Di peringkat PBT, kita sudah ada perancangan projek bagi hotspot banjir. Namun, di peringkat daerah, JPS perlu mengenal pasti hotspot di luar kawasan PBT yang turut terkesan.

“Kita ada tiga peringkat kawasan yang perlu diberi perhatian. Pertama, kawasan dalam 16 PBT yang melibatkan pembayar cukai. Kedua, kawasan di bawah Pejabat Daerah seperti kampung-kampung, termasuk Kampung Murni Jaya dan Kampung Sungai Siam di Kulai, yang sering dilanda banjir kerana berhampiran Sungai Sayong.

“Ketiga, kawasan sepanjang jajaran sungai yang berada di bawah seliaan JPS,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kebanyakan mangsa banjir kali ini berada di sekitar Sungai Skudai dan Sungai Tebrau, sekali gus menunjukkan keperluan untuk memberi tumpuan kepada kawasan tersebut.

“Sebelum ini, kita lebih banyak menumpukan usaha di kawasan PBT, tetapi sudah sampai masanya kita melihat penyelesaian jangka panjang bagi kampung-kampung serta kawasan sepanjang jajaran Sungai Skudai dan Sungai Tebrau,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Jafni memaklumkan bahawa kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM179 juta dalam tempoh tiga tahun bermula 2023 bagi melaksanakan projek berkaitan banjir di kawasan PBT seluruh Johor.

“Pada 2023, sebanyak RM54.87 juta telah dibelanjakan melibatkan 119 kawasan hotspot dengan 123 projek yang telah siap dilaksanakan.

“Bagi tahun lalu pula, sebanyak RM53.9 juta diperuntukkan dengan 62 projek membabitkan 65 kawasan hotspot telah selesai, manakala 40 projek sedang berjalan dan 24 lagi bakal dilaksanakan,” katanya.

Bagi tahun ini, katanya, kerajaan negeri memperuntukkan RM70.2 juta bagi pelaksanaan 83 projek di 37 kawasan hotspot.

Beliau turut menggesa kerajaan Persekutuan supaya menyalurkan peruntukan mencukupi bagi menyelesaikan isu banjir di Johor secara menyeluruh.

“Kita berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, serta menteri berkaitan dapat memberi perhatian serius dan menyediakan peruntukan sewajarnya untuk menangani masalah ini,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!