Operasi pemadaman kebakaran kilang getah di Sengkang masuk fasa akhir

KULAI – Tindakan bersepadu pelbagai agensi digerakkan bagi mengawal kebakaran di sebuah kilang memproses getah di kawasan perindustrian Sengkang dengan operasi pemadaman kini memasuki fasa akhir.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, operasi pemadaman segera dilaksanakan sebaik laporan diterima melibatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor, Majlis Perbandaran Kulai, Pejabat Daerah Kulai serta agensi teknikal berkaitan.
"Fokus utama ketika ini memadamkan sisa kebakaran dan tompokan bahan mentah getah serta plastik yang masih aktif menggunakan 'teknik direct attack' dengan buih bagi mengelakkan kebakaran berulang.
“Bagi melancarkan operasi, MPKu menggerakkan dua unit 'backhoe' dan dua unit 'excavator' sewaan untuk membongkar timbunan sisa kebakaran selain bantuan tambahan jentera berat termasuk JCB dan excavator diselaraskan oleh pejabat daerah,” katanya dalam kenyataan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Permai itu menjelaskan, operasi semalam berdepan kekangan bekalan buih berikutan sifat bahan yang terbakar, namun situasi itu dapat diatasi selepas menerima 25 tong buih daripada JBPM Melaka dan tambahan 30 tong daripada JBPM Putrajaya pagi Rabu.
“Dengan bekalan ini, kerja-kerja pemadaman kini berada pada fasa akhir dan dianggarkan kira-kira 40 peratus kawasan masih dalam proses dipadamkan,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri memberi jaminan aspek keselamatan awam, alam sekitar dan penduduk sekitar sentiasa menjadi keutamaan dengan pemantauan rapi diteruskan sehingga kebakaran dipastikan padam sepenuhnya.
“Siasatan punca kejadian serta penilaian pematuhan operasi premis akan dijalankan oleh agensi berkaitan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
Ringkasan AI
- Tindakan bersepadu pelbagai agensi dilaksanakan untuk mengawal kebakaran di kilang memproses getah di Sengkang
- Operasi pemadaman segera diaktifkan melibatkan JBPM Johor, Majlis Perbandaran Kulai dan agensi teknikal lain
- Teknik direct attack dengan buih digunakan untuk memadamkan sisa kebakaran bahan getah dan plastik
- Dua unit backhoe dan excavator sewaan digunakan untuk membongkar timbunan sisa kebakaran
- Kerajaan negeri memastikan keselamatan awam dan alam sekitar sebagai keutamaan dengan pemantauan rapi kebakaran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

