Bersatu tangani isu penghinaan Islam

Ketahui sikap umat Islam hadapi perkara itu bagi mengelak ketegangan

UMAT Islam perlu bersatu dan bertindak secara kolektif dalam membuat laporan agar isu melibatkan penghinaan terhadap agama dapat ditangani dengan lebih tegas. -Foto: 123RF
UMAT Islam perlu bersatu dan bertindak secara kolektif dalam membuat laporan agar isu melibatkan penghinaan terhadap agama dapat ditangani dengan lebih tegas. -Foto: 123RF
A
A
A

ISU penghinaan Islam bukanlah perkara baharu, malah telah berlaku turun-temurun sejak dari zaman Rasulullah SAW hingga ke era moden kini, baik secara terang-terangan mahupun tersirat.

Baru-baru ini, insiden membabitkan penghinaan terhadap Islam kembali mencetuskan kemarahan umat. Antaranya termasuklah video seorang lelaki menghina agama Islam serta mengeluarkan kata-kata lucah melampau.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) dilaporkan menerima menerima 261 laporan berhubung isu penghinaan agama Islam dan Hindu di seluruh negara setakat artikel ini ditulis.

Persoalannya, bagaimana seharusnya umat Islam bertindak dalam menghadapi situasi sebegini tanpa mencetuskan ketegangan yang lebih besar?

Reaksi tenang, bukan emosi melulu

Menurut Pensyarah Kanan di Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi, tindakan pertama yang perlu dilakukan oleh umat Islam adalah dengan bertenang dan tidak bertindak secara melulu.

DR AHMAD SANUSI
DR AHMAD SANUSI

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, bertenang bukanlah bermaksud berdiam diri tanpa berbuat apa-apa, sebaliknya umat Islam perlu menyiasat terlebih dahulu kesahihan sesuatu berita sebelum bertindak.

"Dalam era media sosial yang berkembang pesat, banyak maklumat yang disebarkan tanpa bukti kukuh, malah ada yang telah diubah suai untuk menimbulkan provokasi.

“Setelah memastikan kesahihan sesuatu insiden, umat Islam disarankan untuk bertindak dengan penuh hikmah dan secara sistematik,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Ahmad Sanusi menegaskan, membalas penghinaan dengan cacian hanya akan memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan imej Islam itu sendiri.

"Kalau ada pihak yang menghina Islam, jangan pula kita membalas dengan menghina agama mereka.

"Dalam ayat ke-108 surah al-An’am, ALLAH SWT melarang umat Islam mencaci sembahan orang lain kerana ia boleh mengundang cercaan terhadap ALLAH dengan lebih dahsyat. Oleh itu, tindakan kita perlu bijak dan berstrategi," ujarnya.

SEJARAH Islam mencatatkan kejayaan dalam banyak peperangan bergantung pada kesepaduan saf umat Islam. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
SEJARAH Islam mencatatkan kejayaan dalam banyak peperangan bergantung pada kesepaduan saf umat Islam. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA

Antara langkah yang boleh diambil adalah melaporkan kes penghinaan kepada pihak berkuasa dan tidak bertindak bersendirian, ungkapnya.

"Berdasarkan pemerhatian, tindakan undang-undang diambil selepas banyak laporan polis dibuat terhadap sesuatu kes.

"Oleh itu, adalah penting untuk umat Islam bersatu dan bertindak secara kolektif dalam membuat laporan agar isu ini dapat ditangani dengan lebih tegas," katanya.

Kepentingan kesatuan umat Islam

Menyambung hujah, beliau kemudian menyentuh tentang sikap umat Islam dalam menangani isu penghinaan agama.

Jelas beliau, ketiadaan kesatuan antara salah satu kelemahan umat Islam dalam isu berkenaan, apatah lagi perbezaan politik dan ideologi sering menjadi penghalang dalam menyatukan suara umat Islam.

"Masalah utama hari ini adalah perpecahan dalam kalangan umat Islam terutamanya dalam politik. Ini yang menyebabkan kita lemah dan sukar untuk menangani isu penghinaan agama dengan efektif.

"Sepatutnya, dalam perkara yang menyentuh agama, kita perlu melangkaui perbezaan politik dan bersatu dalam mempertahankan Islam seperti yang digariskan dalam surah al-Saff," ujarnya.

KETIADAAN kesatuan boleh melemahkan umat Islam dan membibitkan perpecahan. -Foto: CANVA
KETIADAAN kesatuan boleh melemahkan umat Islam dan membibitkan perpecahan. -Foto: CANVA

Dalam membuktikan kepentingan kesatuan umat, sejarah Islam mencatatkan kejayaan dalam banyak peperangan bergantung pada kesepaduan safnya.

Mengambil contoh Perang Hunain yang berlaku selepas pembukaan Kota Makkah, jelas Dr Ahmad Sanusi, Rasulullah SAW mengajak mereka yang baru memeluk Islam mara ke Perang Hunain.

"Pada awalnya, tentera Islam hampir tewas kerana tidak bersatu dan berada dalam keadaan kelam-kabut.

"Namun, apabila Rasulullah SAW mengumpulkan kembali saf tentera asal yang telah lama setia iaitu dari kaum Ansar, Aus, Khazraj dan Muhajirin, mereka berjaya meraih kemenangan selepas bersatu. Inilah bukti kesatuan adalah kunci kejayaan," jelasnya.

Mengambil iktibar daripada peristiwa itu, tegasnya, kesatuan perlu diterapkan dalam konteks umat Islam hari ini.

UMAT Islam dilarang membalas penghinaan dengan cacian kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan imej Islam. -Foto: CANVA
UMAT Islam dilarang membalas penghinaan dengan cacian kerana ia hanya akan memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan imej Islam. -Foto: CANVA

"Jika umat Islam bersatu dalam mempertahankan agama mereka, pihak yang cuba menghina Islam pasti akan lebih berhati-hati," ungkapnya.

Meskipun ada ketikanya kita diuji dengan penghinaan terhadap agama, ahli akademik itu mengingatkan agar umat Islam tetap proaktif dalam menyebarkan keindahan Islam.

Jelasnya, Muslim perlu dididik dengan memuliakan agamanya, di samping menonjolkan contoh teladan yang baik.

“Jika umat Islam menunjukkan akhlak yang baik dan menjadi contoh dalam masyarakat, pihak lain akan lebih menghormati kita.

“Jangan pula kita mengejek agama lain, apalagi mempersendakan agama suci kita kerana ia membuka ruang untuk orang lain memberikan reaksi sama,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan agar sistem pendidikan memainkan peranan dalam mendidik generasi muda mengenai sensitiviti agama.

DALAM era media sosial, banyak maklumat yang disebarkan tanpa bukti kukuh, malah ada yang telah diubah suai untuk menimbulkan provokasi dan penting untuk kita memastikan kesahihannya sebelum bertindak secara berhikmah dan bersistematik. -Foto: 123RF
DALAM era media sosial, banyak maklumat yang disebarkan tanpa bukti kukuh, malah ada yang telah diubah suai untuk menimbulkan provokasi dan penting untuk kita memastikan kesahihannya sebelum bertindak secara berhikmah dan bersistematik. -Foto: 123RF

"Dengan pemahaman yang betul sejak kecil, penghormatan terhadap agama akan menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!