Pindaan RUU Perlembagaan bukan perubahan kosmetik

KELULUSAN Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 merupakan satu keperluan mendesak bagi memastikan Parlimen berfungsi sebagai sebuah institusi yang benar-benar bebas dan berdaulat.
Ini bukan sekadar perubahan kosmetik, tetapi satu langkah reformasi besar yang bakal mengukuhkan prinsip pengasingan kuasa antara badan legislatif, eksekutif dan kehakiman.
Sejak sekian lama, Parlimen Malaysia berada di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, menjadikannya sebahagian daripada struktur eksekutif.
Namun kali ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memilih untuk menyerahkan kuasa tersebut kepada badan yang lebih bebas. Ini adalah tindakan berani yang membuktikan komitmen kerajaan terhadap reformasi institusi yang sebenar.
Ketika membentangkan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 untuk bacaan kali kedua di Dewan Negara, Perdana Menteri menegaskan bahawa pindaan ini bukan sekadar janji politik, tetapi usaha konkrit untuk memastikan Parlimen dapat memainkan peranannya tanpa dikekang oleh eksekutif.
Beliau juga menekankan bahawa pemisahan kuasa adalah elemen penting dalam demokrasi, yang telah diterapkan sejak zaman Perdana Menteri pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 1957.
RUU ini membuka ruang kepada RUU Perkhidmatan Parlimen 2025, yang telah lama diperjuangkan tetapi tertangguh oleh pelbagai kekangan.
Dengan pindaan ini, pentadbiran Parlimen tidak lagi terikat kepada keputusan eksekutif, sebaliknya dapat berfungsi dengan lebih autonomi dalam membuat keputusan berkaitan perkhidmatannya sendiri. Ini termasuk memastikan kenaikan pangkat dan kebajikan pegawai Parlimen terjamin tanpa sebarang pengaruh politik.
Pindaan ini bukan sekadar memberikan kebebasan kepada Parlimen, tetapi turut mencerminkan kesungguhan kerajaan dalam memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa.
Dengan sistem yang lebih telus ini, rakyat akan lebih yakin terhadap proses demokrasi negara, manakala institusi-institusi utama dapat berfungsi dengan lebih profesional dan bebas daripada pengaruh politik yang tidak wajar. Tiada demokrasi yang sebenar tanpa Parlimen yang bebas.
Justeru, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk menyokong kelulusan pindaan ini demi masa depan negara yang lebih demokratik dan adil.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
