[VIDEO] Bukan tolak reformasi, hanya tuntut pindaan RUU lebih jelas - Hamzah
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak wajar menuduh ahli Parlimen pembangkang menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 sebagai satu bentuk pengkhianatan terhadap usaha reformasi institusi Parlimen.
Sebaliknya, Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Hamzah Zainudin menegaskan bahawa kerajaan seharusnya memastikan setiap undang-undang yang dibentangkan di Parlimen bersifat jelas dan tidak dilakukan secara tergesa-gesa.
"Pindaan Perlembagaan yang memperoleh 148 undi di Parlimen baru-baru ini bukanlah satu kemenangan besar dalam usaha mereformasi sistem perundangan negara.
"Saya ingin menjelaskan bahawa 148 undi tersebut hanya sekadar mencukupi, bukan majoriti besar yang menunjukkan kesepakatan mutlak semua ahli Parlimen.
"Kami meminta supaya pindaan ini ditangguhkan kerana ia dilihat tidak mempertahankan kedaulatan negara. Jangan putar belit cerita seolah-olah pembangkang hanya tahu menolak," katanya dalam sidang akhbar di Parlimen pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan bahawa Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan RUU Perlembagaan 2025 dengan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen menerusi undian belah bahagian, iaitu 148 undi menyokong, 57 tidak menyokong dan 17 tidak hadir.
RUU tersebut bertujuan untuk meminda Perkara 65 Perlembagaan Persekutuan bagi menetapkan peruntukan berkaitan pelantikan Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat oleh Yang di-Pertuan Agong, yang boleh dilantik dalam kalangan anggota atau bukan anggota perkhidmatan awam am Persekutuan.
Hamzah turut membangkitkan beberapa isu berkaitan undang-undang yang telah diluluskan tanpa perincian jelas, termasuk peruntukan bagi pusat khidmat yang tidak diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan.
"Kami menyokong perkara yang adil dan menolak apa-apa yang tidak memberikan keadilan kepada semua pihak," tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

