Akta Perkhidmatan Parlimen: Bersih gesa kerajaan teruskan reformasi Parlimen

SHAH ALAM - Desakan perlu terus dilaksanakan dalam tempoh peralihan dua tahun yang dijanjikan kerajaan untuk mencapai tujuan pewujudan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.
Menurut Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dalam kenyataan pada Khamis, ia kerana rang undang-undang yang diluluskan Dewan Rakyat pada Rabu adalah versi hibrid yang bukanlah versi ideal autonomi sepenuhnya.
Menurut kenyataan itu, proses libat urus perlu diteruskan, terutamanya melalui Jawatankuasa Bersama antara Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta penyertaan bersama anggota masyarakat sivil.
"Pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat perlu dilakukan untuk pemerkasaan Parlimen seterusnya, terutamanya bagi memperkukuh fungsi jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen.
"Hal ini akan memastikan Ahli Parlimen daripada backbencher dan pembangkang dapat menjalankan fungsi semak dan imbang yang sebenar kepada badan Eksekutif, sekali gus memberi tumpuan hakiki mereka untuk membahas polisi-polisi kerajaan dengan lebih berkesan," menurut Bersih.

Bersih turut mengulangi harapan dan tuntutannya untuk diwujudkan sebuah Jawatankuasa Tetap khusus berkaitan hal ehwal pilihan raya.
"Hal ini penting bagi memastikan jawatankuasa tersebut mempunyai status yang sama seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan tidak boleh diwujudkan berdasarkan keperluan kerajaan yang memerintah kerana pilihan raya adalah asas kepada legitimasi kerajaan dan demokrasi negara," jelas Bersih.
Selepas 33 tahun, Perkhidmatan Parlimen bakal mempunyai kuasa autonomi untuk menentukan dasar dan tadbir urus Parlimen Malaysia setelah Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen 2025 diluluskan.
RUU itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahaskan 35 ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 antara lain bertujuan menubuhkan Perkhidmatan Parlimen yang menjadi suatu perkhidmatan berasingan daripada perkhidmatan awam.
Ia juga memperuntukkan penubuhan Majlis Perkhidmatan Parlimen (MPP) yang berfungsi melantik dan menentukan terma dan syarat pelantikan anggota Perkhidmatan Parlimen, mengawasi semua perkara kewangan berhubungan Perkhidmatan Parlimen dan membangunkan serta melaksanakan program dan latihan berhubungan dengan Perkhidmatan Parlimen.
Pada Selasa, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025, yang menjadi asas kepada penggubalan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025.
Mengulas lanjut, Bersih berkata, lulusnya RUU berkenaan merupakan langkah besar bagi mengembalikan kuasa Parlimen dalam pentadbiran dan kewangannya sendiri, serta memperkukuh doktrin pemisahan kuasa dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.
"Bersih juga mengucapkan tahniah kepada semua Ahli Parlimen yang terlibat dalam perbahasan yang konstruktif serta rakan-rakan daripada masyarakat sivil (CSO) yang terus memberi input yang bernas, praktikal dan asasi bagi menjadikan Akta Perkhidmatan Parlimen ini sejatinya mencerminkan kebebasan Parlimen sebagai salah satu cabang dalam sistem demokrasi," menurut kenyataan itu.
Sehubungan itu, Bersih berikrar untuk terus memainkan peranan untuk memantau dan memastikan pelaksanaan agenda reformasi berjalan dengan telus dan efektif.
"Untuk rekod, Bersih bersama rakan-rakan CSO seperti Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Institut Reformasi dan Politik (Reform), Projek SAMA, Rasuah Busters dan gabungan Komuniti Perintis untuk Parlimen Profesional (Seed Community for a Professional Parliament) telah berusaha sehabis baik dalam menjalankan advokasi secara aktif dengan semua pihak selama beberapa tahun ke belakang bagi mengembalikan Perkhidmatan Parlimen ini yang telah dimansuhkan pada tahun 1992," jelas Bersih.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
