'Harga tembikai tahun ini paling teruk dalam tempoh 10 tahun'

BESUT - Lambakan tembikai sepanjang Ramadan menyebabkan harga ladang buah itu jatuh mendadak sehingga mencecah 60 sen sekilogram.
Seorang pemborong, Mohd Bukhari Mohd Rosdi, 38, berkata, pihaknya mengambil inisiatif menawarkan harga serendah 90 sen sekilogram bagi membantu petani menjual hasil mereka sekali gus mengelak berdepan kerugian.
Menurutnya, kejatuhan harga tahun ini paling teruk dalam tempoh 10 tahun, di mana kebanyakan petani bergantung kepada jualan sepanjang Ramadan bagi mendapatkan keuntungan.
"Persaingan dalam kalangan peniaga sangat sengit kerana tembikai dijual di hampir setiap jalan di negeri ini dengan harga antara RM1 hingga RM1.50 sekilogram.
"Jadi saya tawarkan harga lebih rendah untuk menarik pembeli,” katanya ketika ditemui di Kampung Anak Ikan di sini baru-baru ini.
Selain memenuhi permintaan pasaran di Lembah Klang, Johor serta Kedah, Mohd Bukhari juga membuka gerai sementara untuk jualan terus kepada pembeli dengan harga rendah.
Menurutnya, langkah itu membuahkan hasil apabila dia berjaya menjual kira-kira dua tan metrik tembikai setiap hari di gerai yang dibina sementara.
Tambahnya lagi, selain harga 90 sen sekilogram bagi gred A dan AA, dia turut menjual gred B secara longgok, iaitu RM10 untuk empat biji dan RM15 untuk 'kombo dua longgok'.
"Tembikai hanya boleh disimpan selama 10 hari selepas dipetik bagi mengekalkan kesegarannya, jadi bekalan perlu dipastikan sentiasa terjual dalam tempoh tersebut bagi mengelakkan kerugian lebih besar.
"Dalam masa sama, saya perlu menjaga 'periuk nasi' lebih 30 petani dari seluruh Terengganu dan sempadan Kelantan-Terengganu yang membekalkan tembikai kepada saya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!