Rakan universiti OKU bisu, pekak dorong belajar bahasa isyarat

SHAH ALAM - Kemampuan memahami bahasa isyarat menjadi kelebihan seorang pemilik kedai apabila beliau memanfaatkannya untuk membantu seorang pelanggan orang kurang upaya (OKU) dalam mendapatkan barangan hadiah untuk anak.
Pemilik Super Real Garage, Muhammad Faiz Safwan Affendi, 28, mengakui amat teruja dengan pengalaman tersebut susulan berjaya menyelesaikan masalah komunikasi dihadapi pelanggan OKU pekak dan bisu berkenaan bagi membolehkan ia mendapatkan aksesori motosikal dihajati anaknya.
Lebih mengejutkan, dia mendedahkan pelanggan OKU berkenaan sudah tiga kali datang ke kedainya, namun gagal membeli barangan dicari susulan masalah komunikasi dengan pekerjanya.

“Dia sudah tiga kali datang ke kedai namun pekerja saya gagal membantu kerana tidak memahami apa cuba disampaikan. Alhamdulillah, berkat mempelajari bahasa isyarat, saya dapat menolong pakcik itu memiliki barang yang dia mahukan.
“Biasanya golongan sepertinya sukar dapat layanan sama rata, jadi saya sangat berpuas hati apabila menjadi pengantara mereka yang berdepan kesukaran berkomunikasi seperti orang lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Muhammad Faiz berkata, pada awalnya perbualan mereka hanya berkisar mengenai hasrat lelaki itu untuk membeli aksesori motosikal sebagai hadiah, namun bertukar menjadi sesi perbualan santai.
“Selepas menegur lelaki itu, saya baru menyedari dia seorang OKU bisu serta pekak. Dari situ, saya cuba menggunakan bahasa isyarat dan dia banyak bertanya mengenai aksesori motor yang cantik, tahan lama serta sesuai buat anaknya.
“Kami berborak panjang dan saya melihat perasaan gembira terpancar dari matanya apabila ada yang memahami perkara yang cuba disampaikan,” ujarnya.
Muhammad Faiz berkongsi, kemahiran itu diperoleh selepas berkawan rapat dengan rakan universiti yang juga merupakan OKU bisu dan pekak sehingga mendorongnya belajar serta memahami bahasa isyarat.
“Saya belajar bahasa isyarat dengan rakan OKU hampir dua tahun dan sepanjang tempoh itu, saya berusaha memahami keperluannya dengan berlatih setiap hari.
“Alhamdulillah, ilmu itu sangat berguna kerana kini saya dapat memanfaatkan apa yang dipelajari untuk membantu golongan memerlukan,” kata beliau.
Menurutnya, pengalaman itu membuka matanya mengenai kepentingan mempelajari bahasa isyarat terutama mereka yang terlibat dalam sektor perkhidmatan pelanggan.
“Bagi saya, masyarakat perlu mempunyai pengetahuan asas mengenai bahasa isyarat agar dapat membantu golongan seperti ini. Mereka bukan sengaja mahu menggunakannya tetapi terpaksa disebabkan kekurangan yang dihadapi.
“Saya setuju sekiranya bahasa isyarat dijadikan sebagai asas dalam kokurikulum di sekolah. Sekurang-kurangnya, setiap pekerja di kaunter atau sektor perkhidmatan pelanggan diwajibkan mempunyai asas kemahiran ini,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!