Tiada amaran lantai licin, lelaki OKU tuntut pampasan RM100,000 selepas terjatuh

Kok Seong (tengah) menceritakan kejadian yang menimpa dirinya pada September tahun lalu.
Kok Seong (tengah) menceritakan kejadian yang menimpa dirinya pada September tahun lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) menuntut pampasan sebanyak RM100,000 daripada sebuah kopitiam terkemuka di Klang, Selangor, berikutan kecuaian premis itu yang tidak meletakkan papan tanda amaran lantai licin.

Lee Kok Seong, 55, yang kudung kaki berkata, pampasan itu wajar diberikan kerana dia tidak lagi mampu bekerja dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.

“Pada September tahun lalu, lebih kurang jam 2.30 petang, ketika saya berjalan menggunakan tongkat di hadapan sebuah kopitiam di Klang, saya terjatuh kerana lantai yang licin.

“Ketika itu, pekerja kopitiam sedang mengemop lantai tetapi mereka tidak meletakkan papan tanda amaran. Saya kemudian dibantu oleh dua lelaki yang berada di premis tersebut.

“Akibat kejadian itu, saya mengalami kecederaan tulang belakang hingga terpaksa menggunakan kerusi roda dan alat sokongan. Doktor menasihatkan saya untuk menjalani pembedahan, tetapi saya enggan,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Komuniti Jinjang Utara, di sini, pada Selasa.

Menurut bapa lima anak itu, laporan polis telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang pada 3 Oktober 2024 dan mendakwa pihak pengurusan kopitiam berkenaan tidak pernah bertanya khabar atau meminta maaf selepas kejadian tersebut.

Kok Seong (tengah) dan Jefferson (kanan) menunjukkan bukti dan laporan polis yang telah dibuat.
Kok Seong (tengah) dan Jefferson (kanan) menunjukkan bukti dan laporan polis yang telah dibuat.

Bagaimanapun, selepas dia melibatkan peguam, kopitiam itu hanya menawarkan pampasan sebanyak RM23,500.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum peguam terlibat, mereka langsung tidak mengendahkan saya dan hanya meminta syarikat insurans menguruskannya. Respons mereka juga sangat perlahan dan pasif.

“Hanya selepas peguam mengeluarkan Surat Tuntutan (LOD), mereka menawarkan RM15,000 dan kemudian menaikkan tawaran kepada RM23,500 dalam rundingan kedua.

“Nilai ini tidak munasabah kerana saya tidak boleh bekerja sejak enam bulan lalu dan masih perlu menjalani rawatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kepong, Jefferson Chia menasihatkan premis makanan dan pusat beli-belah agar lebih cakna dengan keselamatan pelanggan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.

“Saya harap semua premis makanan dan pusat beli-belah mengambil langkah lebih berhati-hati dengan meletakkan papan tanda amaran apabila lantai licin. Ini penting bagi mengelakkan kecederaan kepada orang awam, terutamanya golongan OKU,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!