Rumah pasangan guru didatangi ‘tetamu’ tidak diundang

JERTIH - Pasangan guru di Kampung Padang Tapong di Padang Luas dekat sini dikejutkan dengan kehadiran seekor beruang dewasa ketika mereka sekeluarga membuat persiapan berbuka puasa pada Ahad lepas.
Guru agama di sebuah sekolah menengah di Hulu Besut, W Mohd Hassan Badri W.Othman, 53, berkata, dia menyedari seekor beruang matahari memasuki halaman rumahnya kira-kira jam 7.10 malam apabila terdengar bunyi sesuatu memijak daun kering di belakang rumah.
"Apabila saya intai melalui tingkap, saya nampak dengan jelas seekor beruang dewasa berada di halaman rumah saya memandangkan ketika itu hari masih cerah.
"Memang kehadiran beruang di kawasan rumah saya untuk memakan madu kelulut yang saya ternak bukan perkara baru, malah ia telah berlanjutan sejak hampir lima tahun lalu dan setakat ini kira-kira 13 daripada 60 buah sarang kelulut yang saya usahakan telah dimusnahkan haiwan tersebut,” katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya pada Rabu.
Bagaimanapun yang menjadi kebimbangannya dan isteri Ruzita Zurina Abd Razak, 48, yang juga seorang guru di sekolah menengah berlainan, adalah apabila beruang tersebut memasuki kawasan rumahnya pada waktu senja sedangkan selama ini haiwan itu hanya datang pada awal pagi iaitu antara jam 1 hingga 2 pagi.
W. Mohd Hassan Badri berkata, kedatangan mamalia itu pada waktu tersebut menyebabkan mereka sekeluarga berada dalam kebimbangan terutama mengenai keselamatan empat anaknya yang berusia enam hingga 18 tahun.
"Saya sempat rakam video beruang tersebut berada di halaman pada Ahad lepas selama 20 minit. Ia telah merosakkan dua sarang kelulut untuk memakan madu sebelum beruang itu beredar memasuki kebun getah di belakang rumah saya.
"Pada hari Isnin berikutnya pula beruang sama datang lagi pada jam 8.20 malam dan memakan madu serta merosakkan satu sarang kelulut di tepi rumah saya. Beruang itu melarikan diri dengan memanjat pokok manggis kemudian menghilangkan diri,” katanya.
Menurutnya, seekor beruang spesies sama memasuki halaman rumahnya tahun lepas dan berjaya ditangkap oleh Jabatan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).
Katanya, kali ini Perhilitan telah memasang perangkap di belakang rumahnya sejak petang semalam dan dia berharap haiwan berkenaan akan segera ditangkap.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Perhilitan yang bertindak segera memasang perangkap di belakang rumah saya petang semalam selepas aduan dibuat.
"Penduduk kampung pun ada yang membantu memasang perangkap di kawasan berdekatan dan menyediakan umpan seperti madu kelulut, minyak masak, buah nangka dan susu pekat manis yang dikatakan makanan kegemaran beruang matahari,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!