Amalkan ‘bedtime al-Quran story’, didik anak dengan kisah nabi – Sultan Pahang

ROMPIN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan ibu bapa supaya mengamalkan ‘bedtime al-Quran story’ sebagai pendekatan mendidik anak-anak menerusi kisah yang terkandung di dalam al-Quran.
Baginda bertitah, masyarakat Barat amat menekankan budaya ‘bedtime story’ dengan menceritakan hikayat lama mereka kepada anak-anak sebelum tidur.
Namun, titah baginda, umat Islam juga mempunyai kisah yang lebih agung dalam al-Quran.
"Alangkah indahnya jika kita dapat mengamalkan ‘bedtime al-Quran story’, suatu pendekatan mendidik anak-anak dengan menceritakan kisah para nabi, para solihin, dan umat terdahulu yang diceritakan dalam al-Quran.
“Inilah kisah yang benar, kisah yang bukan sekadar hiburan tetapi membentuk jiwa, membimbing akal dan memperkukuh iman,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Sambutan Nuzul Quran, bacaan Yasin dan tahlil Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar serta perasmian Masjid Al-Sultan Abdullah, Kampung Sungai Puteri di sini pada Rabu.

Keberangkatan baginda diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Selain itu, Al-Sultan Abdullah juga mahu semua pihak memainkan peranan dalam mendidik generasi Jilul Quran yang menjadikan Kalamullah sebagai pegangan dan pedoman dalam setiap langkah kehidupan mereka.
Baginda bertitah, generasi pewaris al-Quran ini penting kerana dunia kini berada di ambang era yang mencabar, dengan umat Islam menghadapi pelbagai bentuk ancaman sama ada dalam aspek pemikiran, akidah mahupun budaya.
Titah baginda lagi, umat Islam tidak boleh sekadar berpuas hati dengan kemajuan duniawi semata-mata, sedangkan jiwa anak-anak tandus daripada cahaya al-Quran.
"Jika generasi kita tidak berpaut teguh pada ajaran al-Quran dan sunnah, kita akan hanyut dalam arus globalisasi yang menggugat jati diri umat Islam.
"Oleh itu, marilah kita sama-sama menghayati satu hakikat yang tidak boleh dipersiakan bahawa generasi Islam yang unggul hanya akan lahir apabila mereka dididik dan diasuh dengan roh al- Quran," titah baginda.
Menyentuh Zon Khas waktu solat daerah Rompin yang diputuskan pada 19 Februari lalu, Al-Sultan Abdullah bertitah, keputusan itu mampu menyelesaikan kekeliruan yang telah lama menjadi persoalan dalam kalangan penduduk daerah tersebut.
Baginda bertitah, jarak waktu antara Rompin dan Mersing yang boleh mencapai satu hingga tiga minit pada bulan Ramadan dan hingga lima minit pada bulan lain, sering menimbulkan kekeliruan, terutama apabila laungan azan dari Mersing berkumandang lebih awal.
Al-Sultan Abdullah bertitah, dalam soal ibadah, ketelitian dan kepastian adalah keutamaan.
"Keputusan mengeluarkan Rompin daripada Zon 2 (Kuantan, Pekan, Muadzam Shah) ini diambil setelah penelitian mendalam oleh Jawatankuasa Falak Negeri Pahang bersama para pakar dalam bidang hisab dan astrometri mengambil kira perbezaan waktu yang ketara antara Rompin dengan sempadan daerah Johor, khususnya di Mersing dan Endau," titah baginda.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!