Maut di taman negara, ibu bapa kalah saman RM574,990 sebab anak tak beli tiket

Mayat Gao ditemui hampir reput di kaki sebuah tebing setinggi 50 meter dari kawasan taman negara di Jiangxi, China. Foto Agensi
Mayat Gao ditemui hampir reput di kaki sebuah tebing setinggi 50 meter dari kawasan taman negara di Jiangxi, China. Foto Agensi
A
A
A

JIANGXI, CHINA – Mahkamah di timur China menolak tuntutan pasangan suami isteri yang menuntut pampasan sebanyak RM574,990 atau AS$130,000 daripada sebuah taman negara di sini selepas anak perempuan mereka maut akibat terjatuh.

Menurut laporan mahkamah, pihak taman negara berkenaan tidak bertanggungjawab terhadap kematian mangsa yang dikenali sebagai Gao kerana insiden itu berpunca daripada kecuaian mangsa sendiri yang memasuki kawasan tersebut tanpa membeli tiket.

“Sistem jualan tiket mewajibkan pengunjung mendaftar maklumat diri mereka dan tanpa tiket, Gao tidak mempunyai sebarang ikatan kontrak perkhidmatan dengan taman negara ini.

“Kami telah mengambil langkah sewajarnya untuk mengingatkan pengunjung tentang bahaya tidak memiliki tiket dengan meletakkan tanda amaran di pintu masuk dan berhampiran pagar,” kata jurucakap taman negara terbabit.

Tambahnya, lokasi di mana Gao jatuh juga terletak di luar laluan disediakan untuk pengunjung.

“Sebagai individu yang waras dan berkeupayaan, Gao sepatutnya menyedari tanggungjawab terhadap risiko serta tindakannya sendiri,” katanya.

Terdahulu, Gao yang merupakan seorang pelajar tahun tiga di sebuah universiti telah mengembara seorang diri ke Gunung Lushan di sini pada Julai 2021.

Selepas seminggu tidak dapat dihubungi, ibu bapa Gao melaporkan kehilangan anak mereka kepada polis kerana bimbang akan keselamatannya.

Sepuluh hari selepas kehilangan Gao, mayatnya yang hampir reput ditemui di kaki sebuah tebing setinggi 50 meter dari kawasan taman negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pada awalnya, ibu bapa mangsa mencapai persetujuan dengan pihak taman negara yang menawarkan pampasan sebanyak RM24,326.50 atau A$5,500.

Beberapa bulan kemudian, pasangan tersebut menuntut semula pampasan sebanyak RM574,990 dengan mendakwa syarikat berkenaan gagal memenuhi tanggungjawab untuk memastikan keselamatan pelancong.

Kisah Gao tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai reaksi daripada warganet.

Seorang pengguna bersetuju dengan keputusan mahkamah dan berpendapat bahawa jika tuntutan itu diterima, taman negara tersebut akan berdepan masalah pada masa akan datang.

Seorang lagi pengguna berpandangan, pihak mahkamah dan taman negara perlu lebih bertimbang rasa terhadap ibu bapa mangsa yang kehilangan anak dalam tragedi tersebut.

“Sebagai sesama manusia, kita perlu menunjukkan belas kasihan kepada mereka yang kehilangan anak dan mengalami kemurungan,” katanya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!