Surah berlainan setiap tahun kekuatan World #QuranHour

World #QuranHour tahun lalu mengangkat surah al-Saff yang memfokuskan penyatuan ummah dan kepentingan membina kesatuan walaupun berbeza pandangan. - Gambar kecil (Marhaini)
World #QuranHour tahun lalu mengangkat surah al-Saff yang memfokuskan penyatuan ummah dan kepentingan membina kesatuan walaupun berbeza pandangan. - Gambar kecil (Marhaini)
A
A
A

SHAH ALAM – World #QuranHour terus memperkukuh peranannya sebagai platform penghayatan al-Quran apabila menampilkan surah berbeza setiap tahun sebagai asas membina kesedaran dan perubahan ummah dengan edisi ke-11 mengangkat surah al-Muzzamil sebagai teras mesej pembinaan insan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), Marhaini Yusoff berkata, kelainan utama World #QuranHour ialah pendekatan pemilihan surah yang berbeza setiap tahun bagi memastikan mesej yang dibawa selari dengan keperluan semasa.

"Tahun lepas kita bawa surah al-Saff yang fokus kepada penyatuan ummah dan kepentingan membina kesatuan walaupun berbeza pandangan.

“Pada tahun ini kita bawa surah al-Muzzammil dengan naratif membentuk manusia sebelum kita membina dunia. Industri dan wilayah yang kita bangunkan itu digerakkan oleh manusia, jadi kita perlu bina manusia dahulu," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Acara perdana tahun ini akan berlangsung di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak pada 11 Mac dengan tema 'Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia' berteraskan surah al-Muzzamil.

Menurutnya, pendekatan tersebut selari dengan kesinambungan naratif tahun lalu yang menyaksikan pelancaran 12 wilayah industri termasuk segmen kesejahteraan sebagai usaha memperkukuh ekosistem ummah.

Kongsinya, sepanjang 10 tahun pertama penganjuran, pemilihan surah lebih tertumpu kepada surah lazim dibaca masyarakat seperti surah Yasin bagi meningkatkan kefahaman terhadap amalan sedia ada.

“Memasuki 10 tahun kedua, kita mula fokus kepada usaha menyelamatkan ummah terutama melalui kekuatan ekonomi dan pembinaan dalaman insan," menurutnya.

Justeru, beliau menjelaskan World #QuranHour tahun ini menekankan pembinaan manusia terlebih dahulu sebelum membina organisasi, masyarakat dan juga negara.

Artikel Berkaitan:

"Jika tahun lepas kita tekankan penyatuan, tahun ini kita tekankan pembinaan dalaman manusia kerana sebelum kita bina organisasi atau negara, kita kena bina staf dan keluarga terlebih dahulu,” ujarnya.

Menurut Marhaini, pemilihan surah al-Muzzamil dibuat menerusi kajian rapi oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama panel universiti dalam bidang al-Quran dan sunnah.

Dalam pada itu, kongsi beliau, World #QuranHour 2026 yang akan diadakan di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Gombak turut mencatat sejarah tersendiri apabila bakal dilaksanakan dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, langkah berkenaan diambil susulan maklum balas daripada peserta dan rakan kolaborasi luar negara yang mahu melihat model pelaksanaan berskala global yang boleh dijadikan rujukan.

Ujar beliau, pelaksanaan di peringkat negeri masih diteruskan dalam bahasa Melayu mengikut kesesuaian kumpulan sasaran masing-masing.

Tambahnya, surah al-Muzzamil yang mengandungi 20 ayat akan dibaca secara penuh pada World #QuranHour 11 Mac ini sebelum diteruskan dalam Arafah #QuranHour, Malaysia #QuranHour dan kemuncaknya di World Quran Convention pada Disember.

Dalam perkembangan sama, kata beliau, WUIF menyasarkan kehadiran antara 3,000 hingga 5,000 peserta melibatkan pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, pasukan beruniform dan industri korporat.

INFO - Surah Pilihan World #QuranHour

2015 - Solidariti 30 juzuk

2016 - Surah Hud dan surah Quraisy

2017 - Surah Yasin

2018 - Surah al-Hujurat

2019 - Surah al-Kahfi

2020 - Surah al-Rahman

2021 - Surah al-Mulk

2022 - Surah al-Sajdah

2023 - Surah al-Insan

2024 - Surah al-Jumu'ah

2025 - Surah al-Saff

2026 - Surah al-Muzzamil

 

 

Ringkasan AI

  • World #QuranHour tahun ini mengambil surah al-Muzzamil sebagai fokus untuk membina insan
  • Kelainan dalam pemilihan surah setiap tahun bertujuan membawa mesej yang relevan dengan keperluan semasa
  • Edisi ke-11 ini bertemakan 'Membentuk Manusia Sebelum Membina Dunia'
  • Pemilihan surah dilakukan melalui kajian rapi oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan bersama panel universiti
  • World #QuranHour 2026 akan diadakan dalam bahasa Inggeris di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM, Gombak

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!