X

Kindly register in order to view this article
!

Kronologi hari ke-6: Anwar dakwa PH mempunyai majoriti

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim -Foto Bernama
A
A

TERKINI: Kronologi hari ke-6 kemelut politik negara. Ikuti perkembangan semasa kemelut politik Malaysia yang masuk hari keenam hari ini.

11.00 malam: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Twitter beliau mendakwa ada ahli Parlimen 'di sebelah sana' yang tidak suka bahawa pucuk pimpinan telah mencuri suara mereka.

Beliau mendakwa PH mempunyai majoriti dan menggesa proses demokrasi diteruskan.

10.11 malam: Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri tidak dihalang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, kata Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof.

Beliau berkata, perkara itu turut diulangi oleh Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu berulang kali.

"Tun (Dr Mahathir) tidak menghalang (calonkan Muhyiddin). Sebenarnya dia kata dia tidak ada halangan dan dia telah berkali-kali dalam kenyataan dia tidak ada halangan," katanya ketika ditemui di kediaman Muhyiddin.

Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Redzuan Yusof hadir ke rumah kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam ini. -Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Redzuan Yusof hadir ke rumah kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara malam ini. -Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

9.17 malam: A Kadir Jasin mendakwa kenyataan ahli parlimen Bersatu bersama kumpulan Azmin Ali telah menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri hari ini bukan dibuat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Sebaliknya, kata Kadir yang juga anggota majlis itu, mereka tidak dibawa berunding atau dimaklumkan mengenai hal berkenaan.

8.00 malam: Peguan Negara, Tommy Thomas telah meletak jawatan, difahamkan surat peletakan jawatan telah diserahkan kepada Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad.

7.45 petang: Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini mendahului kiraan sokongan ahli Parlimen untuk dilantik sebagai Perdana Menteri ke-8.

Sokongan itu diterjemah melalui sokongan sejumlah 97 ahli Parlimen daripada enam parti merangkumi Bersatu (36), UMNO (39), Pas (18), MCA (2), MIC (1) dan PBRS (1).

Manakala Anwar pula ketika ini mendapat sokongan 92 ahli Parlimen merangkumi tiga parti iaitu PKR (39), Amanah (11) dan DAP (42).

Muhyiddin
Muhyiddin

7.30 petang: Sehingga 7 petang masih belum ada keputusan majoriti disebabkan GPS (18) Warisan (9) GBS (2) Upko (1) PSB (1) Bebas (1) masih boleh jelas sokongan.

7.00 petang: Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan Eastin Hotel dan enggan mengulas kepada media.

6.00 petang: BN dan Pas bersetuju mencalonkan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri untuk perkenan Agong.

Dalam dua kenyataan media yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, seramai 60 ahli Parlimen dari kedua-dua parti memberi sokongan sepenuhnya kepada Muhyiddin.

BN yang terdiri dari UMNO mempunyai 39 ahli Parlimen, MCA (2), MIC (1), manakala Pas mempunyai 18 ahli Parlimen.

5.32 petang: Datuk Hasni Mohammad mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor di hadapan DYMM Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut itu menerima surat tauliah pelantikan dan melafazkan sumpah menyandang jawatan dalam Istiadat Penyerahan Surat Tauliah dan Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar Johor, yang berlangsung di Istana Bukit Serene, Johor Bahru.

5.10 petang: Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Majlis Presiden PH, pakatan itu percaya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mendapat jumlah pencalonan terbesar dari kalangan ahli-ahli Parlimen berdasarkan proses yang telah ditentukan Seri Paduka Baginda tempoh hari.

4.19 petang: Bersatu telah memutuskan untuk mencalonkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri untuk diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

4.07 petang: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan memberi peluang kepada ketua-ketua pimpinan parti politik untuk mengemukakan pencalonan nama Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

Perkara tersebut diberitahu oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja dalam satu kenyataan sebentar tadi.

3.39 petang: Kenderaan yang membawa Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilihat keluar melalui pintu utama Istana Negara pada pukul 3.39 petang diikuti kenderaan yang membawa Sultan Kelantan selang seminit kemudian.

Kenderaan membawa Sultan Selangor dan Sultan Perak dilihat keluar dari Pintu Utama Istana Negara masing-masing pukul 3.35 petang dan 3.36 petang hari ini.

Kenderaan yang membawa Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilihat keluar melalui pintu utama Istana Negara. -Foto Bernama
Kenderaan yang membawa Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dilihat keluar melalui pintu utama Istana Negara. -Foto Bernama

3.25 petang: Tun Dr Mahathir Mohamad dilihat meninggalkan perkarangan Yayasan Al-Bukhary pada jam 3.25 petang selepas mengadakan pertemuan dengan ahli-ahli Parlimennya termasuk beberapa bekas ahli Parlimen PKR.

2.52 petang: Presiden Amanah Mohamad Sabu tiba di Hotel Eastin untuk mesyuarat PH hari ini.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat bergerak ke Hotel Eastin untuk menghadiri mesyuarat PH dari kediaman beliau pada 2.49 petang.

2.45 petang: Beberapa pemimpin kanan PH kelihatan di Hotel Eastin di Petaling Jaya. Antaranya Saifuddin Nasution Ismail, Dr Dzulkefly Ahmad, Khalid Samad, Gobind Singh Deo dan Anthony Loke.

1.13 petang: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dalam satu kenyataan memberitahu persidangan khas Dewan Rakyat yang bakal diadakan pada 2 Mac ini bagi menentukan calon bagi mendapat majoriti untuk menjadi Perdana Menteri baharu tidak akan berlangsung.

1.10 tengah hari: Beberapa raja-raja Melayu dilihat sudah meninggalkan Istana Negara.

Kenderaan yang membawa Raja-raja Melayu menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-raja di Istana Negara di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Kenderaan yang membawa Raja-raja Melayu menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-raja di Istana Negara di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

1.00 tengah hari: Mesyuarat khas Bersatu di Yayasan Al-Bukhary selesai.

Setelah kira-kira dua jam pertemuan dengan Perdana Menteri Interim Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Al-Bukhary, pemimpin Bersatu dan sejumlah anggota parlimen kem Mohamed Azmin Ali mula beredar dari bangunan itu.

11.40 pagi: Setiausaha Agung UMNO, Annuar Musa, mengajak semua ahli parlimen mengatakan "Tidak" kepada sidang khas Dewan Rakyat yang dijadual berlangsung pada 2 Mac ini.

11.20 pagi: Tun Hanif Omar berkata beliau menghantar 'memorandum rakyat' kepada Istana Negara sebagai usaha pelbagai NGO mencadangkan penyelesaian kepada kemelut melanda sekarang.

Bekas ketua polis negara itu yang mendakwa mengetuai kumpulan Gerakan Mempertahankan Kedaulatan Perlembagaan berkata, pembubaran parlimen bukan penyelesaian terbaik bagi mengatasi isu pelantikan perdana menteri.

Bekas Ketua Polis, Tun Mohamed Haniff Omar pada Penyembahan Memorandum menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran di Pintu 3 Istana Negara hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Bekas Ketua Polis, Tun Mohamed Haniff Omar pada Penyembahan Memorandum menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran di Pintu 3 Istana Negara hari ini. Foto: SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

11.15 pagi: Kenderaan membawa Sultan Kedah tiba di Istana Negara. manakala kenderaan yang membawa Sultan Selangor dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 10.50 pagi.

10.40 pagi: Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tarik balik sokongan kepada Tun Dr Mahathir, berikutan hilang sokongan Pakatan Harapan (PH) dan UMNO.

10.10 pagi: Beberapa bekas pemimpin PKR seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Zuraida Kamaruddin turut dilihat hadir dalam mesyuarat khas Bersatu di Yayasan Al Bukhary.

9.28 pagi: Kenderaan rasmi dari Istana Johor dilihat memasuki pintu utama Istana Negara dipercayai membawa Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar. Mesyuarat khas Majlis Raja-Raja bagi membincangkan perkembangan politik semasa tanah air dijangka bermula 11.30 pagi.

9.12 pagi: Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu tiba di Yayasan Al Bukhary untuk mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen parti itu.

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

8.30 pagi: Setiausaha Agung UMNO mencadangkan agar Yang di-Pertuan Agong mengadakan temu duga kali kedua untuk menentukan perdana menteri baru untuk negara ini.

7.30 pagi: Antara peristiwa yang menjadi perhatian hari ini ialah persidangan khas Majlis Raja-raja di Istana Negara.

Istana Negara
Istana Negara