X

Kindly register in order to view this article
!

Raja-raja Melayu mula tiba di Istana Negara

Kenderaan yang membawa Raja-raja Melayu menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-raja di Istana Negara di sini hari ini. - FOTO SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Raja-raja Melayu mula tiba di Istana Negara hari ini dijangka bagi menghadiri mesyuarat khas Majlis Raja-raja.

Kenderaan rasmi dari Istana Johor antara terawal dilihat memasuki pintu utama Istana Negara pada 9.28 pagi dipercayai membawa Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Mesyuarat itu yang dipercayai bagi membincangkan perkembangan politik semasa tanah air dijangka bermula pada 11.30 pagi.

Menurut sumber, Raja-raja Melayu yang dijangka menghadiri mesyuarat khas berkenaan, antaranya Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

ARTIKEL BERKAITAN: Mesyuarat khas Majlis Raja-raja diharap rungkai kemelut politik negara

Turut dipercayai akan berangkat menghadiri mesyuarat khas itu ialah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir, Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra Sultan Ismail Petra.

Sehingga kini tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan Istana Negara.

Difahamkan, mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan perkembangan politik semasa susulan kerajaan Pakatan Harapan (PH) hilang kuasa berikutan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) keluar daripada PH.

Pada Isnin, Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai Perdana Menteri ketujuh serta pengerusi Bersatu dan beberapa jam kemudian, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah melantiknya sebagai Perdana Menteri interim.

Pada Selasa dan Rabu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap dan mendengar sendiri pendirian Ahli-ahli Dewan Rakyat bagi mencari penyelesaian terbaik dalam menangani kemelut politik negara.

Ini menyaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen subur di negara ini apabila Al-Sultan Abdullah menjalankan peranan dalam mendapatkan fakta bagi membantu baginda membuat keputusan lanjut berhubung masalah tersebut.

Sementara itu, Majlis Perundingan Melayu (MPM) bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum bagi menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran kepada Yang di-Pertuan Agong di luar perkarangan Pintu 3, Istana Negara pada kira-kira 10.15 pagi tadi.

pembetulan para 12 - Ahli Lembaga Penasihat MPM yang juga bekas Ketua Polis Negara (KPN) Tun Mohammed Hanif Omar mengetuai penyerahan memorandum tersebut kepada Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Turut hadir, bekas Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang serta bekas KPN Tan Sri Musa Hassan.

Beberapa NGO juga berada di situ, antaranya Persatuan Pegawai-Pegawai Kanan Polis Bersara Malaysia (Respa), Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Persatuan Veteran Angkatan Tentera dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).

Sementara itu, keadaan di Pintu 2 Istana Negara pagi ini, tenang berbanding hari-hari sebelumnya, tanpa sebarang pergerakan kenderaan rasmi mahupun orang kenamaan yang keluar atau masuk menerusi laluan tersebut. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!