X

Kindly register in order to view this article
!

Yang di-Pertuan Agong belum yakin pilih Perdana Menteri

Istana Negara
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu kenyataan menegaskan Seri Paduka Baginda masih belum memperoleh keyakinan mengenai seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat kepercayaan majoriti ahli bagi membentuk kerajaan baharu.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada ahli-ahli Parlimen dan Ketua Setiausaha Negara serta semua pihak yang terlibat dalam proses temubual bersama ahli Parlimen yang berlangsung di Istana Negara selama dua hari bermula 25 Februari lalu.

“Seri Paduka Baginda turut berkenan dengan keputusan yang telah diambil oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof untuk tidak memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat pada Isnin ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada sidang khas 2 Mac ini, kata Speaker

“Seri Paduka Baginda seterusnya akan terus berusaha untuk mencari jalan penyelesaian selaras dengan Perlembagaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat jelata dan negara kita cintai bersama,” katanya.

Selain itu, Ahmad Fadil berkata, pihak Istana Negara akan berhubung dengan ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat bagi memberi peluang kepada mereka untuk mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

Semalam, Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, satu persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan Isnin ini bagi menentukan calon Perdana Menteri selepas pertemuan semua ahli Parlimen dengan Yang di-Pertuan Agong gagal menemui calon yang mempunyai majoriti mudah.