‘Keluarga tidak dimaklumkan’- Rosmah kata tidak tahu dua wakil bayar denda RM50 juta Najib

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak mengetahui dakwaan dua wakil hadir ke Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat bagi menjelaskan denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak.
Rosmah, 75, berkata, beliau dan keluarga tidak dimaklumkan mengenai sebarang perkembangan berhubung perkara itu, termasuk kemungkinan pembayaran denda berkenaan bagi membolehkan bekas Ahli Parlimen Pekan itu menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.
"Saya tidak tahu, keluarga juga tidak dimaklumkan mengenainya. Sepatutnya kamu beritahu saya.
"Kalau salah laporan nanti, sekejap lagi mereka tariklah balik berita itu," katanya secara berseloroh ketika ditemui pemberita selepas hadir ke Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa dua wakil hadir ke mahkamah untuk membuat pembayaran berkenaan pada jam 8.40 pagi.
Mengulas tujuan kehadirannya, Rosmah berkata, beliau datang bersama barisan peguam bagi mengikuti perkembangan kes solar yang dihadapinya.
"Selain itu, saya tak ada apa-apa nak cakap," katanya.
Rosmah turut menafikan terbabit dalam usaha mengumpul dana oleh UMNO bagi menjelaskan denda berkenaan.
Sebaliknya, beliau meminta media mendapatkan penjelasan lanjut daripada Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Sejak Selasa lalu, timbul spekulasi Najib akan melunaskan denda itu bagi membolehkannya menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah.
Bagaimanapun, peguam utamanya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sebelum ini memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang arahan daripada Najib berhubung perkara itu.
Menurutnya, pihaknya juga tidak dapat menjangkakan sama ada pembayaran itu akan dibuat dalam minggu ini.
Sebelum ini, Muhammad Shafee mengesahkan lokasi tahanan rumah yang dinyatakan dalam dokumen yang diperoleh ialah di kediaman Najib di No. 11, Langgak Duta.
Oktober lalu, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zamri Misman memaklumkan Jabatan Penjara Malaysia telah memberikan penjelasan lanjut mengenai mekanisme tahanan rumah kepada Najib.
Pada 19 September lalu, Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Jabatan Penjara Malaysia dijangka menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Ahli Parlimen Pekan itu.
Najib menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas didapati bersalah menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Beliau memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan Yang di-Pertuan Agong pada 2 September 2022.
Pada 28 Julai 2020, Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan pecah amanah, tiga pengubahan wang haram serta satu salah guna kedudukan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

