Nak glamor punya pasal, baju raya pun sanggup beli ansuran

MEMASUKI minggu ketiga Ramadan ini, orang ramai nampaknya sudah mula sibuk membuat persiapan menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.
Gedung-gedung beli-belah mula meriah dengan kehadiran orang ramai yang datang mencari kelengkapan sambil menikmati lagu raya yang berkumandang.
Merak Jalanan juga tidak melepaskan peluang mencuci mata di pusat beli-belah di Kuala Lumpur sambil melayan pelbagai jenis baju raya berwarna-warni yang dijual di beberapa butik di situ. Sesekali Merak Jalanan melayari internet melihat baju raya yang dijual di kedai dalam talian pula.
Namun, apa yang menarik perhatian Merak Jalanan, ada baju raya label berjenama yang dijual hingga RM700 sepasang, malah ada yang mencecah angka ribuan ringgit walaupun bagi Merak Jalanan rekaannya biasa-biasa sahaja.
Itu belum baju dan kain dijual secara berasingan, harganya menjadi berganda-ganda sampai langsung tak masuk akal.
Walaupun mahal, Merak Jalanan difahamkan, baju raya ‘kayangan’ ini mempunyai permintaan daripada pembeli. Selagi ada permintaan, penjual pastinya mengambil peluang untuk menjana keuntungan.
Cuma Merak Jalanan terkejut apabila mendapat tahu ada golongan biasa-biasa yang sanggup membayar secara ansuran untuk memiliki baju raya mewah ini semata-mata mahu nampak glamor di hari raya nanti. Dah macam beli barang elektrik pula.
Nasihat Merak Jalanan, eloklah ukur baju di badan sendiri dan tengok poket terlebih dahulu sebelum membeli. Tidak menjadi masalah kalau kita mampu berbelanja besar setahun sekali untuk bergaya sakan, tapi berpada-padalah.
Bak kata rakan Merak Jalanan, beli baju mahal-mahal pun, balik kampung nanti tiada siapa akan tanya harga baju raya yang kita beli.
Soalan yang biasa akan ditanya saudara mara nanti - ‘bila nak kahwin?’ atau ‘bila nak tambah anak sorang lagi?’
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!