[VIDEO] Sultan Nazrin beli juadah berbuka di Bazar Ramadan Stadium Perak
IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan melawat Bazar Ramadan Stadium Perak di sini pada Isnin.
Ketibaan baginda disambut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Tan Sri Mohd Annuar Zaini dan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin pada jam 4.20 petang.

Pengunjung kelihatan ceria dengan kehadiran baginda dan tidak melepaskan peluang untuk bergambar serta bersalaman.
Dalam kunjungan kira-kira 20 minit itu, Sultan Nazrin berkenan membeli juadah berbuka puasa antaranya kuetiau goreng, sate, serunding, takoyaki, apam balik juga air kelapa laut dan longan.
Ketika melawat salah satu gerai menjual nasi beriani, Sultan Nazrin sempat berseloroh bahawa baginda mahu mencuba menu tersebut untuk berbuka puasa hari ini.

Peniaga, Muhammad Farhan Abdul Rahim, 33, mengakui amat teruja dan gembira apabila baginda Sultan berkenan membeli nasi beriani yang dijual.
Katanya, ini kali pertama dia berniaga di bazar tersebut dengan hidangan utama nasi beriani bersama set kambing, ayam bawang dan madu berempah serta daging masak hitam.

"Kami ada dengar-dengar tadi yang Sultan Perak nak singgah di bazar ini. Jadi ketika rombongan sampai sini, saya ikhtiar pakai pembesar suara jemput Tuanku singgah.
"Alhamdulilah, Tuanku singgah dan beli lima pek nasi beriani kambing," katanya.

Bazar Ramadan Stadium Perak merupakan bazar terbesar di Perak menempatkan 208 lot gerai termasuk kenderaan saji yang menawarkan pelbagai kuih-muih, lauk-pauk serta minuman untuk berbuka puasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!