Demi kuih raya, pelanggan sanggup taja tiket penerbangan pergi balik KL-JB

SHAH ALAM - Gara-gara tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan biskut raya kegemaran sempena Aidilfitri, seorang pelanggan sanggup menaja tiket penerbangan pergi dan balik kepada seorang pengusaha kuih raya.
Berkongsi kisah itu, pengusaha biskut raya Oh Mak Kita, Nazim Nasri berkata, kejadian itu merupakan pengalaman pertamanya menghantar tempahan kepada pelanggan dengan menaiki pesawat dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.
"Dia sanggup menanggung kos tiket penerbangan sekitar RM80 hingga RM100 untuk dua hala kerana tidak mahu terlepas untuk dapatkan biskut raya kegemarannya sempena raya nanti," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu video memaparkan Nazim membuat persediaan membungkus kuih raya dan menaiki pesawat yang dimuat naik olehnya di laman X mendapat perhatian warga maya.
Menerusi ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial tidak menolak kemungkinan kuih raya dibuat lelaki itu sedap sehingga menyebabkan ada pelanggan yang sanggup menaja tiket penerbangan.
Dalam pada itu Nazim memberitahu, produksi biskut raya Oh Mak Kita dibuka sepanjang tahun, namun lebih fokus sewaktu musim perayaan.

Menurutnya, sejak 2019 sehingga 2024, Oh Mak Kita hanya fokus kepada tart nanas dan bermula tahun ini, pihaknya menambah dua jenis biskut iaitu semperit klasik dan sable cookies yang merupakan manisan daripada Perancis.
"Selain Aidilfitri, biskut raya kami juga mendapat sambutan ketika Tahun Baharu Cina kerana pernah tular Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan pelanggan VVIP kami.
"Dari situ kami dapat liputan daripada media tempatan termasuk portal akhbar berbahasa Cina," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
