Hati-hati keluar kenyataan berkaitan ALLAH, Rasulullah

Zamri
Zamri
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam hendaklah berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terutama berhubung perkara yang berkaitan dengan ALLAH SWT dan Rasulullah SAW.

Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim berkata, ini kerana ia dikhuatiri memberi gambaran salah mengenai ajaran agama Islam yang sebenar sepertimana dakwaan yang menyatakan Nabi Muhammad SAW mengamalkan kronisme dan nepotisme.

Menurutnya, sedangkan di dalam beberapa hadis Rasulullah tegas menolak sebarang bentuk pelantikan yang bersifat kronisme malah memberi peringatan bahawa tindakan itu adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap ALLAH, rasul dan orang-orang beriman.

“Penulisan itu difahami seolah-olah merendahkan kedudukan Baginda apabila mendakwa nabi melakukan amalan kronisme dan memberi bayangan ketidakadilan.

“Amat tidak wajar dan tidak beradab apabila nabi dibandingkan dengan sistem demokrasi barat seolah-olah kepimpinan nabi itu lebih teruk dari mereka.

“Dalam hadis riwayat al Hakim, nabi mengecam perbuatan melantik seseorang semata-mata kerana sentimen dari kelompok sendiri sedangkan ada orang lain yang lebih layak. Difahami dari hadis berkenaan Rasulullah SAW sangat membenci kronisme dan nepotisme,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, seorang pengguna Facebook yang menggunakan nama ‘Ainon Mohd’ membuat hantaran di media sosial berhubung perkara itu sehingga mengundang kecaman.

Hantaran itu menyebut demokrasi barat tidak mengamalkan nepotisme dan kronisme selain mempersoalkan dalam zaman ini, sama ada patut ia diamalkan juga.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, tambah Zamri, berdasarkan beberapa hadis sudah jelas Rasulullah SAW dan para sahabat menyedari kesalahan kronisme serta nepotisme.

“Tidak sepatutnya bagi seorang Muslim menuduh Baginda mengamalkan sesuatu yang jelas bertentangan dengan prinsip sendiri.

“Walhal, kalau lihat sejarah nabi pelantikan khalifah berlaku selepas kewafatan Baginda oleh umat Islam berdasarkan kompetensi mereka,” jelasnya.

Dalam pada itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan memanggil seorang individu dikesan membuat hantaran di laman sosial berhubung isu kronisme serta nepotisme yang dipercayai mengaitkannya dengan Nabi Muhammad SAW.

Menurut Jakim dalam satu kenyataan melalui Facebook pada Ahad, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap hantaran status berkaitan perkara berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!