PM seru umat Islam imarahkan masjid

Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai pada Selasa.
Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai pada Selasa.
A
A
A

BUTTERWORTH – [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa masyarakat Islam untuk mengimarahkan masjid sebagai pusat ilmu dan penyatuan ummah, bukan sebagai medan perpecahan dan perbalahan.

Menurutnya, masjid harus dimakmurkan dengan aktiviti yang memperkukuh perpaduan serta penghayatan nilai-nilai Islam untuk hidupkan semangat muafakat agar kesejahteraan dan keharmonian negara terus terjamin.

Bagaimanapun, beliau melahirkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pihak yang menggunakan masjid sebagai medan perpecahan dan perbalahan serta menghina orang lain.

“Masjid seharusnya menjadi tempat penyatuan dan bukan membawa kebencian atau perpecahan dalam kalangan umat Islam.

"Ini yang jadi polemik di negara kita...Jangan gunakan Islam itu hanya untuk porak-peranda, menyerang. Bagi dia kefahaman. Apapun sebelum buat keputusan kena ada kefahaman.

“Nak berbeza pendapat boleh tak perlu cerca dan maki hamun serta tak perlu untuk menidakkan orang," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohamad Abdul Hamid.

Pada majlis tersebut, Anwar turut mengumumkan sumbangan RM100,000 kepada pihak masjid untuk pembangunan insaniah anak-anak kariah di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Anwar berkata, kejayaan sebuah masyarakat Islam bukan hanya diukur melalui aspek ekonomi dan politik tetapi juga sejauh mana institusi agama seperti masjid dimakmurkan dan berfungsi secara efektif.

Jelasnya, masyarakat Islam perlu menjadikan masjid sebagai medan yang menyatukan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang.

“Semangat persaudaraan yang kukuh dapat dibentuk sekiranya masjid dimanfaatkan dengan sebaiknya sebagai pusat ilmu dan aktiviti kemasyarakatan.

“Masjid harus menjadi tempat yang terbuka kepada semua golongan termasuk wanita, anak muda bagi memastikan mereka dapat mendekati agama dengan lebih baik,” katanya.

Sempena Program Ihya Ramadan TNB pada tahun ini juga, TNB turut menyediakan sebanyak RM400,000 Zakat Wakalah untuk diagihkan kepada 20 buah masjid di sekitar Pulau Pinang. Setiap masjid yang terpilih bakal menerima RM20,000.

Sumbangan TNB disampaikan oleh Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid kepada pengerusi-pengerusi masjid yang terpilih sambil disaksikan oleh Perdana Menteri sempena Majlis Perasmian Masjid Jamek Perai di Pulau Pinang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!