Majikan, organisasi berperanan tutup peluang kakitangan lakukan rasuah

SHAH ALAM - Majikan dan organisasi mempunyai peranan penting dalam mengukuhkan sistem serta prosedur kerja bagi menutup peluang mana-mana kakitangan daripada melakukan rasuah.
Ahli Jawatankuasa (AJK) Rasuah Busters Selangor, Zairudin Hashim berkata, semua pihak tanpa mengira latar belakang perlu memainkan peranan dan inisiatif masing-masing untuk membanteras rasuah.
“Paling utama adalah integriti diri seseorang itu perlu dijaga dan dipelihara.
“Harus diingat, tiada siapa yang dapat mengubah diri kita kecuali kita sendiri. Hal ini berkait dengan kefahaman yang mendalam terhadap agama dan nilai-nilai moral, iaitu memandang jijik gejala rasuah dan salah guna kuasa,” katanya kepada Sinar Harian.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan melibatkan syarikat Sapura Energy Berhad (Sapura Energy).
Menurut sumber, tindakan itu diambil selepas SPRM menerima maklumat mengenai pembayaran rasuah dan tuntutan mencurigakan yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan.
Tambah Zairudin, SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan sepenuhnya secara telus tanpa sebarang gangguan mana-mana pihak.
“Penting untuk dinyatakan bahawa siasatan tertumpu kepada kegiatan pengubahan wang haram serta penyelewengan tuntutan sekitar tahun 2018 ketika syarikat itu masih dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Berhad.
“Selain itu, antara punca rasuah masih berlaku adalah terdapat peluang dan pengetahuan untuk memanipulasi proses kerja, kelemahan kawalan dalaman serta tiada pemantauan yang teliti.
“Jika jenayah ini masih berleluasa, usaha untuk mencapai sifar rasuah sukar dicapai. Sama ada syarikat terbabit terlibat atau tidak, kita perlu mengakui bahawa gejala itu masih berlaku di negara kita,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

