Iftar@KL jadi produk utama sempena TMM2026

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan mengangkat program Iftar@KL sebagai salah satu produk utama yang akan dipromosikan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Timbalan Menterinya, Khairul Firdaus Akbar Khan berkata, program yang dianjurkan MOTAC melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) itu berpotensi menjadi daya tarikan kepada pelancong berikutan keunikan variasi juadah serta sambutan Ramadan di negara ini.
“Sambutan bulan Ramadan dan Syawal di negara kita mempunyai keistimewaan tersendiri jika dibandingkan dengan negara lain kerana bukan sahaja orang Islam yang meraikannya, tetapi juga masyarakat daripada pelbagai agama, bangsa dan latar belakang.
“Ia perlu diperkenalkan ke seluruh dunia bagi mempamerkan keunikan budaya kita, termasuk dari sudut pelancongan mesra Muslim, kerana ramai pelancong ingin melihat keunikan serta cara kehidupan masyarakat Islam di negara kita.

“Walaupun kita adalah negara majoriti Muslim, kita berjaya mempraktikkan kepelbagaian budaya sehingga masyarakat berlainan agama dan bangsa turut selesa dengan cara sambutan kita... ini sebenarnya kekuatan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar program Iftar@KL 2025 di Dataran Merdeka, di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris; Timbalan Ketua Pengarah JKKN, Rosnan Nordin serta tetamu kehormat lain.
Mengulas lanjut, Khairul Firdaus berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi merangka pelan kontingensi untuk memastikan kelancaran program demi kemudahan serta keselesaan pengunjung.

Menurutnya, beliau juga akan mempertimbangkan cadangan untuk memberikan insentif kepada pempengaruh media sosial bagi mempromosikan keunikan serta aneka juadah Ramadan sempena TMM2026.
“MOTAC akan memperhalusi cadangan ini dan merancang langkah terbaik untuk mempromosikan makanan tempatan, terutamanya di bazar Ramadan, agar lebih dikenali di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Sementara itu, Rosnan memaklumkan bahawa edisi Iftar@KL 2025 yang berlangsung selama empat hari pada 15, 16, 22 dan 23 Mac berjaya menarik lebih 35,000 pengunjung, meskipun keadaan cuaca kurang mengizinkan.
Beliau berkata, program tersebut bertujuan mengimarahkan Ramadan, memperkukuh ukhuwah dan toleransi antara kaum, serta menyemarakkan kebudayaan dan kesenian Islam kepada pelancong tempatan dan antarabangsa.
“Program ini telah dianjurkan oleh JKKN sejak 2012 dan ketika itu hanya dihadiri 500 orang, tetapi kini ia mampu menarik lebih 35,000 pengunjung dalam tempoh empat hari penganjuran.
“Dalam keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang, persiapan rapi amat diperlukan selain menyediakan kemudahan untuk keselesaan pengunjung berbuka puasa.
“Apa yang unik, ia bukan sekadar program berbuka puasa beramai-ramai, tetapi turut diisi dengan aktiviti seperti tazkirah Ramadan, solat tarawih berjemaah serta pelbagai jualan makanan dan minuman daripada trak makanan (food truck),” katanya.
Iftar@KL 2025 Dinantikan Setiap Tahun
Sementara itu, seorang pengunjung yang juga pekerja restoran makanan segera, Fatimah Lakasa, 50, mengakui sentiasa ternanti-nanti acara tahunan itu untuk merasai pengalaman berbuka puasa dalam suasana berbeza.
Menurut ibu kepada empat cahaya mata itu, program tersebut meringankan beban golongan kurang berkemampuan atau kumpulan B40 kerana juadah berbuka diberikan secara percuma, sekali gus mengurangkan perbelanjaan keluarga.
“Setiap tahun kami sekeluarga tidak pernah melepaskan peluang untuk datang, tetapi kali ini saya rasa lebih meriah berbanding sebelum ini.
“Saya tidak nafikan program seperti ini mampu menjimatkan perbelanjaan keluarga dan membantu golongan B40 seperti saya. Malah, banyak juga kemudahan disediakan, termasuk ruang solat serta tempat letak kenderaan yang memudahkan kami datang,” katanya.
Selain itu, penjawat awam, Khairul Hasib Mohamad, 26, berkata, Iftar@KL 2025 memberi pengalaman bermakna buat dirinya kerana pertama kali berpeluang menyertai program tersebut.
“Sebenarnya saya dan kawan tidak rancang untuk datang ke sini, niat asal kami hanya mahu berjalan-jalan di sekitar kawasan ini. Tetapi sukarelawan menjemput kami masuk ke khemah... Alhamdulillah, rezeki kami untuk hari ini.
“Tahun lalu kami tidak berpeluang kerana ruang agak terhad, tetapi kali ini banyak penambahbaikan dilakukan, terutama pertambahan khemah untuk menampung lebih ramai peserta, dan suasananya cukup meriah.
“Program seperti ini wajar diteruskan kerana ia adalah satu inisiatif yang baik bagi mengeratkan ukhuwah sesama Islam serta masyarakat bukan Islam, seperti yang dituntut dalam agama,” ujarnya.
Seorang lagi pengunjung yang juga guru swasta, Nur Atikah Ghazali, 30, berkata, dia teruja dapat berbuka puasa bersama orang ramai walaupun tidak saling mengenali antara satu sama lain.
“Kami tidak rancang pun mahu datang, tetapi rezeki kami hari ini ada program seperti ini, yang saya rasa sangat membantu golongan yang memerlukan dan dalam masa yang sama mendekatkan masyarakat antara satu sama lain,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!