Iftar percuma di Masjid Zahir sambil nikmati keindahan seni bina, pencahayaan

Laman Masjid Zahir sentiasa dipenuhi orang ramai yang menyertai program iftar. Gambar kecil: Syeikh Mohd Naim
Laman Masjid Zahir sentiasa dipenuhi orang ramai yang menyertai program iftar. Gambar kecil: Syeikh Mohd Naim
A
A
A

ALOR SETAR - Masjid Negeri, Masjid Zahir meneruskan tradisi saban tahun dengan menyediakan iftar percuma sepanjang Ramadan bagi mengimarahkan bulan mulia ini.

Imam Besar Masjid Zahir, Syeikh Mohd Naim Ahmad berkata, ramai penyumbang berlumba-lumba bersedekah untuk menaja juadah berbuka, moreh dan sahur bagi memeriahkan aktiviti masjid.

Menurutnya, selain berbuka puasa dan menunaikan solat sunat tarawih, orang ramai dapat menikmati keindahan seni bina dan pencahayaan hiasan lampu di sekitar Masjid Zahir.

Merasai pengalaman berbuka puasa sambil menikmati keindahan pencahayaan Masjid Zahir.
Merasai pengalaman berbuka puasa sambil menikmati keindahan pencahayaan Masjid Zahir.

“Ramai pengunjung memberikan maklum balas positif dan merasai kelainan berbuka puasa di masjid ini, kerana seni bina yang menjadi tarikan terutama pada waktu senja.

“Gabungan seni bina Timur Tengah, digabungkan ciri-ciri Masjid Azizi di Langkat, Sumatera Utara, Indonesia serta elemen negara India pada rekaan lebih 270 tiang di anjung kiri masjid serta ukiran dinding dan jendela, memberi pengalaman unik ketika berbuka puasa,” katanya kepada Sinar Harian.

Syeikh Mohd Naim berkata, juadah disediakan kepada lebih 200 orang setiap hari termasuk moreh bermula pada 3 hingga 25 Ramadan.

Ruang dalam masjid turut dipenuhi orang ramai berbuka puasa dengan memastikan kebersihan dijaga.
Ruang dalam masjid turut dipenuhi orang ramai berbuka puasa dengan memastikan kebersihan dijaga.

“Kemeriahan dirasai bermula Asar, dengan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan, antaranya tadarus al-Quran melibatkan remaja sehingga khatam al-Quran, selain tadarus pelajar tahfiz sehingga 27 Ramadan.

Artikel Berkaitan:

“Pengisian tarawih oleh imam-imam jemputan terdiri daripada johan qari dan hafazan memberikan jemaah ketenangan mendengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran.

“Untuk 10 hari terakhir Ramadan, pengunjung dibenarkan bermalam di Masjid Zahir dengan disediakan sahur selain penyampaian bantuan kepada asnaf, orang miskin dan fakir,” ujarnya.

Menurutnya, selepas berakhirnya Ramadan, Masjid Zahir yang dibina pada tahun 1912 itu tidak menyepi, malah dipenuhi pelbagai program untuk segenap lapisan masyarakat.

“Antara program unik termasuk menyantuni golongan orang kelainan upaya (OKU) dengan menganjurkan kelas tafakur fiddin, dengan menampilkan penterjemah bahasa isyarat.

“Program yang dimulakan pada tahun lepas itu akan diteruskan kerana ia memberi manfaat kepada golongan tersebut. Turut diadakan bengkel sifir jari bersama pelajar berumur lapan hingga 17 tahun,” katanya.

Syeikh Mohd Naim berkata, Masjid Zahir yang juga masjid pelancongan menyediakan pemandu pelancong dengan pelbagai kemudahan seperti pakaian menutup aurat dan kitab al-Quran yang diterjemahkan kepada pelbagai bahasa.

“Pada tahun lalu kita menerima kehadiran pelancong dari lebih 40 buah negara antaranya Jepun, China, Turki, Indonesia dan Thailand.

“Selain menceritakan sejarah masjid, disertakan program dakwah secara tidak langsung dengan memberikan suntikan keimanan kepada orang bukan Muslim,” ujarnya.

Menurutnya lagi, pada masa akan datang beberapa program bagi menarik golongan muda mengunjungi masjid sedang dirancang.

“Untuk program melibatkan anak muda, akan diadakan acara sukan selepas Aidilfitri serta kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Kedah dengan menjemput pelajar ziarah Masjid Negeri. Kita akan bekalkan beberapa modul pendidikan, melawat persekitaran Masjid Zahir serta gotong-royong,” katanya.

Syeikh Mohd Naim berkata, pihaknya turut memanfaatkan teknologi dan aplikasi media sosial dalam mendekatkan Masjid Zahir dengan masyarakat.

“Kebanyakan program seperti Kuliah Asar Ramadan, tadarus al-Quran, tarawih disiarkan secara langsung di laman Facebook Masjid Zahir, saluran TV Masjid Negeri, YouTube serta TikTok untuk menarik golongan muda mendekati Masjid Zahir.

“Kita sentiasa melakukan penambahbaikan dari segi pencahayaan bagi menambahkan lagi keindahan malam di Masjid Zahir,” katanya.

Jelasnya lagi, Masjid Zahir masih dalam penyelenggaraan antaranya untuk mengecat semula bangunan masjid selain menaik taraf sistem pendawaian elektrik pada tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!