Peniaga Jalan TAR desak pendedahan isu penjualan tapak bazar

KUALA LUMPUR - Peniaga di Bazar Aidilfitri Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini semakin gelisah apabila dakwaan mengenai penjualan tapak oleh kartel terus menimbulkan persoalan.
Peniaga mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat serta mendedahkan kebenaran di sebalik dakwaan skandal penjualan tapak bazar.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Putra, 38, mendakwa mereka tidak dimaklumkan mengenai sebarang penjualan tapak namun tidak menolak kemungkinan ia berlaku dalam kalangan peniaga.
"Sebenarnya agak sukar untuk berniaga di tapak bazar secara haram kerana setiap peniaga diwajibkan meletakkan lesen dan pengenalan diri mereka di dalam premis masing-masing.
"Sekiranya tiada, ada kemungkinan tapak itu dibeli dari pemilik asal, namun dengan penguatkuasaan yang tegas dari pihak DBKL agak mustahil ia berlaku," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Seorang lagi peniaga, Nadrah Nordin, 27, pula berkata, sekiranya berlaku semua pihak berkaitan perlu jujur dan bertanggungjawab serta bekerjasama dalam membanteras aktiviti menjual tapak bazar.
"Jika wujud aktiviti seperti ini beritahu peniaga dan rakyat siapa yang menjual tapak ini. Jangan biarkan sindiket seperti ini terus menindas peniaga-peniaga kecil," tegasnya.
Sementara itu, seorang pengunjung, Saifuddin Mohamad, 46, pula berharap, isu berkenaan dapat segera diselesaikan kerana ia dapat mengurangkan keyakinan orang ramai terhadap penguatkuasaan.
Terdahulu, Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPPBWPKL) mendedahkan bahawa hampir 30 peratus hingga 50 peratus tapak bazar dikuasai kartel yang membeli tapak secara haram daripada peniaga sah sebelum menjualnya semula pada harga mencecah RM12,000.
Sementara itu, Presiden PPPBWPKL, Datuk Seri Rosli Sulaiman pula dilaporkan berkata, mereka telah membuat laporan rasmi kepada SPRM dan polis bagi menyiasat pihak yang bertanggungjawab.
Bagaimanapun setakat ini, pihak DBKL menafikan sebarang penglibatan dalam isu ini, namun peniaga berharap satu siasatan telus dapat dijalankan segera bagi membersihkan nama pihak yang tidak bersalah dan membawa mereka bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

