Enam gerai warga asing 'curi-curi' niaga di bazar Ramadan disita

KULAI - Sebanyak enam gerai warga asing yang beroperasi tanpa lesen di bazar Ramadan sekitar Johor disita dalam operasi penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan itu melibatkan kawasan Iskandar Puteri dan Batu Pahat.
"Kita tidak akan berkompromi dengan peniaga warga asing yang berniaga tanpa lesen. Enam gerai telah disita dan mereka dilarang terus berniaga, semua barang jualan peniaga turut dirampas.
“Mereka ini kebanyakannya berniaga secara curi-curi menjual kuih-muih di bazar Ramadan. Kalau hari biasa, ada yang menjual ikan dan barangan runcit,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan sesi libat urus VFNW bertemakan Cabaran Sebulan Tanpa Pembaziran sempena Ramadan di bazar Ramadan Jalan Merbau, Bandar Putera, di sini, pada Khamis.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khaled Mohamed dan Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin.
Dalam operasi sama, beliau memaklumkan, satu kompaun berjumlah RM1,000 turut dikenakan terhadap seorang majikan di Kluang kerana menggajikan pekerja asing secara tidak sah.
Menurut Mohd Jafni, PBT di Johor telah diarahkan untuk memperketat pemantauan di 16 kawasan pentadbiran bagi memastikan peniaga di bazar Ramadan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
"Penguatkuasaan ini bertujuan melindungi peniaga tempatan yang menjalankan perniagaan secara sah.
“Kita mahu memastikan hanya mereka yang memiliki lesen dibenarkan berniaga, manakala peniaga tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan sitaan serta-merta,” tegasnya.
Pada masa sama, beliau menasihatkan peniaga supaya mematuhi peraturan ditetapkan bagi mengelakkan sebarang tindakan penguatkuasaan.
Ditanya mengenai penjualan mercun yang semakin berleluasa di bazar Ramadan, Mohd Jafni berkata, jualan mercun hanya dibenarkan sekiranya peniaga mendapat permit khas daripada polis serta lesen perniagaan daripada PBT.
“Jika tiada permit, tindakan akan diambil kerana mercun adalah barangan terkawal yang tidak boleh dijual sewenang-wenangnya.
“Sama juga seperti peniaga warga asing yang berniaga secara curi-curi, mereka tidak boleh sesuka hati beroperasi tanpa dokumen sah, katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


