Warga emas didakwa cederakan isteri sehingga parah

KUALA TERENGGANU - Seorang warga emas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas tuduhan mencederakan isterinya sehingga menyebabkan cedera parah.
Tertuduh, Sidik Ismail@Mamat, 76, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas mangsa berusia 70 tahun itu di sebuah rumah di Dungun jam 10 malam pada 23 Februari lalu.
Justeru, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca Bersama Seksyen 326A kanun yang sama.

Di bawah Seksyen 325 KK, sekiranya disabitkan memperuntukkan penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan manakala Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum di bawah Seksyen 325.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Nabihah Hanin Ayim manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.
Mahkamah menetapkan 13 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!