Pesara berputih mata wang pelaburan RM2.3 juta lesap

Seorang warga emas kerugian RM2.3 juta akibat terperdaya skim pelaburan saham yang tidak wujud. - Gambar hiasan
Seorang warga emas kerugian RM2.3 juta akibat terperdaya skim pelaburan saham yang tidak wujud. - Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang warga emas berputih mata apabila wang pelaburannya berjumlah RM2.3 juta lesap akibat terperdaya dengan skim pelaburan saham yang tidak wujud.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, pesara berusia 62 tahun itu pada mulanya menerima mesej daripada individu tidak dikenali sebelum dimasukkan ke dalam satu kumpulan WhatsApp.

"Selain itu, mangsa turut ditawarkan pulangan yang lumayan sehingga AS$8 juta.

"Kerana tertarik dengan tawaran itu, mangsa membuat empat transaksi pemindahan wang ke empat akaun bank tempatan antara 27 November 2024 hingga 4 Mac 2025. Jumlah keseluruhan wang yang dipindahkan adalah RM2,336,000.

“Mangsa kemudiannya diberikan pautan laman sesawang yang kononnya membolehkannya melihat keuntungan serta mengendalikan pelaburan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan, dan denda jika sabit kesalahan.

Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

Semak dahulu kesahihan pelaburan melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) atau aplikasi ‘Semak Mule’ bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

Orang ramai, khususnya mereka yang menjadi mangsa penipuan, diingatkan supaya segera menghubungi Pusat Respons Scam Nasional (NSRC) di talian 997 bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk menyekat pengaliran wang keluar dari akaun suspek.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!