Anggota bomba buat komen negatif di media sosial berdepan tindakan

ALOR SETAR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengambil tindakan tegas terhadap pegawai dan anggota yang membuat komen negatif di media sosial, terutamanya yang menyentuh isu raja, kaum, agama (3R).
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohamad berkata, semua penjawat awam, termasuk anggota bomba, perlu mematuhi garis panduan komunikasi dalam talian bagi memastikan integriti perkhidmatan tidak terjejas.
Menurutnya, walaupun hanya sekadar menyatakan sokongan terhadap sesuatu isu yang sensitif, ia tetap boleh dikenakan tindakan jika melanggar etika sebagai penjawat awam.
"Kadang-kadang mereka hanya tulis ‘saya sokong’ tetapi jika komen itu berkaitan isu sensitif dan menyalahi peraturan, tindakan tetap boleh diambil," katanya pada petang Selasa.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun di Dewan Muhammad Adib, JBPM Kedah, di sini.
Seramai 53 pegawai dan anggota menerima Pingat Perkhidmatan Bomba, manakala 65 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 38 individu menerima Sijil Penghargaan atas perkhidmatan selama 30 tahun.
Nor Hisham memaklumkan bahawa sehingga kini, tiada anggota yang dikenakan tindakan berkaitan isu 3R.
Sebanyak 19 surat amaran telah dikeluarkan dalam tempoh dua tahun kepada anggota yang membuat komen menjejaskan kredibiliti penjawat awam.
Menurutnya,mereka yang dikenakan tindakan juga akan hilang kelayakan untuk menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta pingat cemerlang selama enam bulan sebagai langkah disiplin dalaman.
"Ada yang sesekali terikut dengan perbincangan rakan dan meninggalkan komen, tetapi ia tetap melambangkan imej penjawat awam.
"Oleh itu, setiap anggota perlu lebih berhati-hati dalam penggunaan media sosial," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

