Tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja cuba timbul perpecahan dalam negara - PM

Anwar berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Universiti Multimedia pada Rabu. Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di Universiti Multimedia pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak sesekali cuba mencetuskan perpecahan di negara ini.

Beliau berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap sesiapa sahaja yang menimbulkan kebencian tidak kira dari segi perkauman, agama mahupun menghina orang miskin.

"Percayalah, kita akan ambil tindakan sekeras mungkin untuk menghentikan gejala yang membawa malapetaka dan kecelakaan kepada negara kita.

"Mudah-mudahan kita buat pertimbangan baik dan tahu antara baik dan buruk, mahrum dan munkar, hak dan batil. Terutama sekarang di Malaysia ini, kita mesti tumpu dalam soal ini dan jangan izinkan negara ini dicemari oleh pelampau perkauman dan agama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Perdana Menteri bersama Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan di sini pada Rabu.

Terdahulu, Perdana Menteri mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama menjadi ejen perpaduan dan membantu usaha kerajaan Madani menyatukan rakyat daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa.

Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah melalui Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan di Facebook berkata tindakan itu juga dapat menjamin perpaduan antara kaum di negara ini kekal mekar dan harmoni. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!