MBS nafi dakwaan ambil tindakan melulu terhadap peniaga bazar Aidilfitri

SEREMBAN - Majlis Bandaraya Seremban (MBS) menafikan anggota penguat kuasa mengambil tindakan secara melulu terhadap peniaga bazar Aidilfitri seperti didakwa seorang lelaki di TikTok baru-baru ini.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, semua tuduhan dibuat adalah berniat tidak baik untuk menjejaskan imej dan kredibiliti MBS.
"Berkaitan isu integriti penguatkuasaan, hasil siasatan mendapati, tiada sebarang pelanggaran dilakukan oleh anggota penguat kuasa semasa menjalankan tugas dan telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) telah ditetapkan.
"MBS masih belum membuat sebarang aktiviti penguatkuasaan ke atas mana-mana bazar Aidilfitri pada tahun ini dan isu dinyatakan dalam video tersebut merupakan isu yang telah berlaku pada tahun 2024," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Menurutnya, semasa kejadian, Jabatan Undang-Undang dan Penguatkuasaan MBS telah mengadakan pemeriksaan permit perayaan sementara tapak kiosk Aidilfitri di belakang McD Dataran Senawang (Uptown) bersama-sama dengan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Usahawan MBS.
Jelasnya, sebanyak 65 perniagaan telah diperiksa dan satu kompaun melanggar syarat lesen permit sementara iaitu pelesen dan pembantu tiada di kiosk atau premis telah dikeluarkan semasa pemeriksaan.
"Selain itu, MBS turut melakukan pemeriksaan Permit Perayaan Sementara Tapak Kiosk Aidilfitri di petak atau tapak penjaja B1-B48 dan sebanyak tujuh kompaun telah dikeluarkan di atas kesalahan tiada lesen atau permit termasuk kepada pemilik video selaras dengan Undang-Undang Kecil Penjaja 1980," katanya.
Sementara itu jelasnya, kesalahan melaporkan dan menyebarkan berita palsu boleh didakwa mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atau Seksyen 233(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Tambahnya, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan merangkumi sebaran berita palsu secara bertulis atau lisan, manakala Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia membabitkan kes sebaran dalam talian.
"Mereka disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 233 boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya manakala kanun keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat tidak mudah terpengaruh dengan maklumat tidak sahih dan meminta mereka yang mempunyai sebarang aduan, pertanyaan dan cadangan boleh mengemukakan melalui SISPAA MBS mbseremban.spab.gov.my atau muat turun secara percuma aplikasi Respon Rakyat atau boleh juga hubungi terus talian 06-7654444.
Menerusi video terbabit, lelaki itu mendakwa anggota penguat kuasa MBS telah mengambil tindakan saman terhadapnya kemungkinan disebabkan masalah peribadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

