Gaji lewat bayar dipercayai punca pekerja kilang merusuh

POKOK SENA – Sekumpulan pekerja warga asing di sebuah kilang di sini bertindak merusuh selepas dipercayai tidak berpuas hati dengan kelewatan pembayaran gaji.
Dalam kejadian kira-kira jam 12.05 tengah hari pada Selasa, berlaku pertelingkahan antara kumpulan pekerja terbabit dengan dua penyelia kilang sebelum situasi menjadi tegang sehingga mengakibatkan tolak-menolak.
Insiden itu menyebabkan tiga individu mengalami kecederaan ringan.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian tersebut pada jam 1.05 tengah hari sebelum sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi bagi mengawal keadaan.
"Siasatan awal mendapati rusuhan berpunca daripada isu kelewatan pembayaran gaji pekerja yang dimaklumkan oleh pihak syarikat sebelum itu.
"Kami sedang mengenal pasti individu yang terlibat dan akan mengambil tindakan mengikut peruntukan undang-undang," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, Siti Nor Salawati turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi mengenai insiden berkenaan bagi mengelakkan kegusaran dalam kalangan masyarakat.
"Keadaan kini terkawal dan difahamkan pihak syarikat telah menyelesaikan isu pembayaran gaji pekerja terbabit," tambahnya.
Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada kenyataan lanjut daripada pihak kilang mengenai kelewatan pembayaran gaji yang menjadi punca ketegangan tersebut.
Terdahulu, insiden itu turut menjadi tumpuan di media sosial selepas rakaman video berdurasi satu minit 11 saat mengenai kejadian itu tular di TikTok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

