BNPL terus popular, berpotensi perangkap hutang berlarutan

PENINGKATAN transaksi 'Beli Sekarang, Bayar Kemudian" (BNPL) berjumlah RM7.1 bilion pada separuh kedua 2024 seperti yang dimaklumkan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan pada Selasa menunjukkan permintaan tinggi terhadap kemudahan kewangan fleksibel dalam kalangan rakyat Malaysia.
Skim ini secara tidak langsung juga menarik minat golongan muda untuk cenderung mencari kemudahan tanpa komitmen kewangan segera.
Walaupun kadar keberhutangan BNPL masih rendah berbanding keseluruhan hutang isi rumah, peningkatan penggunaan skim ini masih perlu diawasi untuk mengelakkan masalah hutang berlarutan yang boleh menjejaskan kestabilan kewangan individu.
Dalam usaha mengawal risiko dan meningkatkan perlindungan pengguna, kerajaan sedang memperkenalkan Rang Undang-undang (RUU) Kredit Pengguna bagi mewujudkan satu rangka kerja pengawalseliaan yang lebih ketat bagi industri pemberi kredit bukan bank termasuk BNPL.
RUU berkenaan akan memastikan penyedia BNPL mematuhi piawaian etika, ketelusan dalam yuran dan caj, serta memberi peringatan kepada pengguna mengenai pembayaran yang perlu diselesaikan.
Sekiranya RUU diluluskan, Suruhanjaya Kredit Pengguna (SKP) akan ditubuhkan untuk mengawasi industri ini.
Inisiatif ini menjadi langkah proaktif kerajaan untuk melindungi pengguna sekali gus mampu mencegah penyalahgunaan skim BNPL yang boleh menyebabkan beban kewangan tidak terkawal.
Namun pengguna tetap perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan kewangan peribadi dan memahami implikasi jangka panjang daripada penggunaan BNPL bagi mengelakkan mereka terperangkap dalam hutang yang berlebihan.
Walaupun BNPL memberi manfaat jika digunakan dengan bijak, ia tetap berpotensi menjadi perangkap kewangan yang lebih serius.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
