BNM, majikan perlu campur tangan supaya hutang tidak bertambah

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) dan majikan perlu campur tangan dengan mengenakan syarat yang ketat bagi memastikan hanya pengguna yang layak dibenar menggunakan skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL).
Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Dr Mustazar Mansur berkata, langkah itu penting bagi memastikan pengguna khususnya golongan muda tidak terjerat dengan risiko hutang yang tinggi serta muflis.
Menurutnya, BNM boleh memperkenalkan tapisan kredit pemohon menggunakan CCRIS dan CTOS serta syarat melibatkan barangan keperluan atau mewah manakala majikan boleh membantu mengawalnya melalui pengesahan.
“Saya melihat BNM perlu mengeluarkan satu ketetapan agar kita boleh kawal hutang rakyat melalui tapisan CTOS dan CCRIS bagi yang ingin menggunakan skim ini serta menetapkan syarat tertentu untuk pembelian barangan keperluan atau mewah.
“Contohnya, pemohon perlu lepas daripada CTOS dan CCRIS. Kedua, diharapkan ada syarat yang jelas supaya jumlah hutang tak bertambah terutamanya jika barangan itu adalah bukan barangan keperluan.
“Kita tahu golongan muda khasnya, memerlukan skim bayaran sebegini untuk membina hidup terutamanya pada awal perkahwinan. Bagaimanapun, saya melihat BNPL lebih sesuai untuk barang jangka masa panjang dan nilainya mahal,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kadar penggunaan BNPL di Malaysia yang semakin meningkat berikutan kemudahan akses dan insentif menarik yang ditawarkan kepada pengguna.
Tambah Mustazar, BNM juga boleh melihat kepada pengawalan hutang oleh majikan melalui mekanisme pengesahan majikan.
“Secara tidak langsung, majikan juga tahu nilai hutang yang ditanggung oleh pekerja mereka.
“Pengisytiharan ini penting kerana hutang yang banyak boleh menjejaskan produktiviti pekerja,” jelasnya.
Penganalisis ekonomi dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid pula berpandangan, BNPL akan menjadi satu kebiasaan dan jumlahnya akan terus meningkat dalam era digital.
“Perkara sama berlaku di negara-negara yang mengadaptasi ekonomi digital dengan lebih pantas seperti China, Taiwan, Korea Selatan, Singapura dan Jepun.
“Justeru literasi kewangan perlu diajar seawal mungkin dalam sistem pendidikan negara, termasuk di peringkat prasekolah hingga universiti,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!