Bayar tepat pada masa elak terbeban hutang

BNM memaklumkan jumlah pengguna BNPL di Malaysia mencapai angka 10.3 juta orang pada tahun lalu. Gambar hiasan
BNM memaklumkan jumlah pengguna BNPL di Malaysia mencapai angka 10.3 juta orang pada tahun lalu. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kunci utama kejayaan mengurus skim beli sekarang bayar kemudian (BNPL) adalah membayar hutang tersebut tepat pada masanya bagi mengelakkan pengguna terbeban dengan risiko hutang tidak terkawal.

Salah seorang pengguna tegar skim tersebut, Raznie Razif, 29, berkata, skim tersebut menjadi pilihan utamanya membeli-belah kerana ia tidak mengenakan sebarang kadar faedah sebaliknya menawarkan fleksibiliti pembayaran ansuran.

“Penggunaan skim ini sangat memudahkan urusan pembelian terutamanya di platform e-dagang kerana pengguna boleh menebus kupon diskaun untuk mendapatkan harga lebih murah.

“Dengan adanya skim ini, saya dapat merancang bajet bulanan dengan lebih baik tanpa perlu mengeluarkan jumlah wang yang besar. Justeru, ia tidak akan menjejaskan perbelanjaan lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Raznie berkata, bayaran yang dibuat tepat pada masanya membolehkan dirinya merancang kewangan dengan lebih teliti.

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.

Sebelum ini, Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna Bank Negara Malaysia (BNM) memaklumkan jumlah pengguna BNPL di Malaysia mencapai 10.3 juta orang pada tahun lalu.

Ia menunjukkan peningkatan 16 peratus berbanding tahun sebelumnya berikutan kemudahan akses dan insentif menarik yang ditawarkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pekerja swasta, Ain Najihah Borhan, 24, juga sering menggunakan skim BNPL untuk membeli barangan elektrik.

“Skim BNPL dapat membantu saya membahagikan bayaran dan menjimatkan wang dalam jangka masa panjang.

“Namun, penggunaan skim ini perlu diurus dengan bijak kerana ia boleh menjadi perangkap kewangan jika tidak ditangani dengan baik,” ujarnya.

Seorang pelajar, Nisa Nabiha Safian, 22, berkata, menggunakan BNPL membolehkannya memiliki barang diperlukan ketika menghadapi kesempitan wang.

“Sebagai pelajar sumber kewangan saya mencukupi untuk membeli barang keperluan belajar dan peribadi.

“Dengan adanya BNPL, saya dapat membuat pembayaran ansuran bulanan tanpa dikenakan faedah yang tinggi,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!