BNPL ancam kewangan anak muda, kerajaan perlu bertindak - DDNK

Konsep BNPL banyak menjerat golongan muda berpendapatan rendah khususnya mereka yang bergaji di bawah RM3,000 sebulan. (Foto hiasan/123RF) Gambar kecil: Nazri Khan
Konsep BNPL banyak menjerat golongan muda berpendapatan rendah khususnya mereka yang bergaji di bawah RM3,000 sebulan. (Foto hiasan/123RF) Gambar kecil: Nazri Khan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lonjakan penggunaan konsep beli sekarang bayar kemudian (BNPL) dalam kalangan anak muda dilihat semakin membimbangkan.

Pengurus Dana Bertauliah, Datuk Dr Nazri Khan berkata, nilai transaksi BNPL meningkat 100 peratus dalam setahun, daripada RM700 juta kepada RM1.4 bilion, menunjukkan ramai pengguna mula bergantung kepada skim ini untuk keperluan harian.

Beliau yang dikenali sebagai DDNK berkata, skim ini banyak menjerat golongan muda berpendapatan rendah khususnya mereka yang bergaji di bawah RM3,000 sebulan.

“Tanpa sedar, ramai terjebak dalam hutang walaupun baru meniti kerjaya, sekali gus menjejaskan kestabilan kewangan dan pembangunan kekayaan mereka.

“Saya lihat ramai anak muda terperangkap dalam skim ini kerana mahu bergaya dan memiliki barangan dengan cepat.

“Jangan terpedaya dengan ilusi kemudahan BNPL, kerana akhirnya ia boleh menjerat anda dengan hutang yang tidak terkawal,” katanya menerusi TikTok.

Tambah beliau, platform e-dagang antara penyedia utama skim ini membolehkan pembelian keperluan harian seperti tilam, barangan elektronik dan dapur dibuat secara ansuran.

Lebih membimbangkan, bank-bank utama seperti bersama syarikat fintech turut bekerjasama dalam memperluaskan akses kepada skim ini.

Artikel Berkaitan:

Meskipun BNPL dilihat sebagai penyelesaian mudah, caj tersembunyi yang dikenakan memberi kesan besar kepada pengguna.

Jelasnya, ada platform e-dagang mengenakan caj 1.5 peratus bagi setiap transaksi termasuk ada yang mengenakan caj tetap RM10 bagi setiap item sekiranya berlaku kelewatan pembayaran.

“Keadaan ini menambah beban kewangan anak muda yang sudah pun berdepan dengan kos sara hidup tinggi.

“Saya gesa kerajaan mengambil tindakan segera untuk mengawal skim BNPL ini sebelum lebih ramai anak muda terperangkap dalam kancah hutang.

“Pendidikan kewangan juga perlu diperkasakan agar mereka lebih bijak dalam menguruskan kewangan,” tegasnya.

Beliau turut menyarankan golongan muda agar lebih berwaspada, mengamalkan perbelanjaan berhemah serta mempertimbangkan alternatif seperti pelaburan pasif bagi membina kekayaan jangka panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!