KPDN fokus siasat jualan pek beras 'Super Import'

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan menjalankan siasatan terhadap jualan pek beras kategori 'Super Import' yang mempunyai label berwarna biru bagi mengenal pasti penyelewengan penjualan beras di pasaran.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, Bahagian Penguatkuasa kementerian akan melaksanakan siasatan di bawah Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang merupakan undang-undang di bawah kawal selia KPDN.

"Kita berpandukan kepada Perintah Beras (Kawalan Gred dan Harga) (Pindaan) 2001 yang dikeluarkan melalui Peraturan-Peraturan Perlu (Kawalan Bekalan Beras) 1974.
"Perenggan 2(c) secara jelas termaktub kategori 'Super Import' adalah beras yang diperoleh dari luar Malaysia.
"Ini bermaksud jualan beras dalam kategori berkenaan perlulah 100 peratus beras yang diimport dari luar Malaysia," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini beliau dilapor memaklumkan, KPDN akan menguatkuasakan Seksyen 5 APD 2011 untuk mengenal pasti pihak yang bertindak membuat perihal dagang palsu mengenai kandungan, jenis dan pelabelan beras.
Menurutnya, ia termasuk kesalahan melakukan penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras yang boleh mengelirukan pengguna.
Dalam pada itu Armizan menjelaskan, pihaknya akan bekerjasama dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Kimia sebagai agensi berwibawa untuk melaksanakan analisis sampel.
Jelasnya, teknologi Pencapjarian DNA Beras yang baru dibangunkan oleh agensi itu diyakini akan dapat memperkasa keberkesanan siasatan dan penguatkuasaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
