KPDN bertemu MARDI, perkukuh SOP siasatan campuran beras

Armizan (empat dari kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan pihak MARDI bagi memperkukuh SOP berkaitan isu campuran beras
Armizan (empat dari kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan pihak MARDI bagi memperkukuh SOP berkaitan isu campuran beras
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang memperkukuh prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keberkesanan penguatkuasaan berkaitan isu campuran beras.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, SOP siasatan ini merangkumi seluruh aspek termasuk pengurusan ekshibit sampel beras dan kebolehterimaan (admissibility) barang bukti di mahkamah.

Menurutnya, oleh sebab itu, KPDN akan memperkukuhkan kerjasama strategik dengan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Kimia Malaysia.

"Petang ini, saya mengadakan pertemuan bersama MARDI untuk mendengar taklimat berkaitan dapatan kajian isu percampuran beras putih import (BPI) dengan beras putih tempatan (BPT) di pasaran.

"KPDN akan menguatkuasakan Seksyen 5, Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 untuk mengenal pasti pihak yang bertindak membuat perihal dagang palsu mengenai kandungan, jenis dan pelabelan beras.

"Ini termasuk kesalahan melakukan penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras yang boleh mengelirukan pengguna," ujarnya menerusi laman Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, kira-kira 40 hingga 50 peratus BPI daripada 5,000 sampel yang dianalisis MARDI disahkan bercampur dengan beras putih tempatan.

Kajian menggunakan teknologi pencapjarian asid deoksiribonukleik (DNA) beras itu dijalankan sepanjang 2023 dan 2024 dengan sampel beras diterima daripada pihak berkuasa iaitu Pejabat Kawal Selia Padi dan Beras dan KPDN yang diambil daripada pengilang.

Tambah Armizan, dalam menguatkuasakan Akta 730, analisa sampel beras adalah aspek yang amat penting dalam penentuan BPI dan BPT.

Artikel Berkaitan:

"Ini setelah mengambil kira MARDI kini mempunyai kepakaran melalui Teknologi Pencapjarian DNA beras, KPDN akan merujuk MARDI sebagai pihak berwibawa (competent authority).

"KPDN komited untuk melaksanakan penguatkuasaan bagi menangani isu beras campuran secara tidak sah melalui kesalahan membuat perihal dagangan palsu.

"Ia bertujuan untuk melindungi kepentingan pengguna dan seterusnya membantu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam agenda menambah baik industri padi dan beras negara," jelasnya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!