Mana hilang beras tempatan, soal ADUN Beserah

KUANTAN - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu, mempersoalkan keberadaan beras tempatan yang dijanjikan kerajaan untuk golongan sasar selepas mendapati tiada bekalan dijual di sebuah pasar raya utama di kawasan tersebut.
Beliau berkata, tinjauan di pasar raya yang menjadi tumpuan golongan asnaf dan penerima bantuan, mendapati rak beras tempatan kosong tanpa sebarang bekalan.
"Malangnya, tidak ada satu pek beras tempatan pun dijual di pasar raya ini.
"Apabila saya bertanya kepada kakitangan, mereka memaklumkan bahawa sejak setahun lalu memang tidak ada bekalan," katanya pada Jumaat.
Beliau turut mempersoalkan pengumuman kerajaan pada 1 Mac lalu yang menyatakan bekalan beras tempatan telah tersedia untuk golongan sasar.
"Jadi timbul persoalan, di mana beras itu? Bagaimana golongan sasar boleh mendapatkannya?
"Apakah kaedah pengagihannya? Sampai ke hari ini, di sekitar DUN Beserah, masih tiada satu pek beras tempatan pun dijual di pasaran," tegasnya.
Sehubungan itu, Andansura berharap pihak kerajaan dapat bersikap telus dan mengambil tindakan segera.
Tegasnya, ini bagi memastikan bekalan benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan, khususnya golongan asnaf dan miskin yang amat bergantung kepada barangan asas pada harga terkawal.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

